Isnin, 10 Mac 2014

‘Mahkamah Rakyat’ PRK Kajang, permulaan kejatuhan UMNO-BN


anthony



SHAH ALAM : Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke Siew Fook melontarkan amaran bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang nanti akan menjadi ‘Mahkamah Rakyat’ yang bakal menjanjikan kejatuhan UMNO-BN.

Beliau berkata, tindakan memenjarakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan saja tidak adil malah merupakan kesilapan besar yang akan memakan diri mereka sendiri dan PRK Kajang akan menjadj saksinya.

“Jika mereka berasa ini adalah jalan paling terbaik mematikan ikatan utuh Pakatan Rakyat dan ‘Langkah Kajang’, mereka silap besar kerana sejarah telah membuktikan sebaliknya.

“Kajang akan menjadi Mahkamah Rakyat, tempat dimana tumbangnya UMNO-BN, ” katanya ketika menyampaikan ucapan setiausaha dalam Konvensyen PR kali ke-5 di Setia Alam Convention Centre, hari ini.

Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan itu menyatakan contoh terbaik bagaimana tindakan mengheret Anwar ke penjara merupakan kesilapan besar boleh dilihat pada 1998, dimana ia telah mengerakkan gelombang reformasi.

“Pada 1998, saat kali pertama Anwar difitnah dan dihumban ke dalam penjara, peristiwa itu bukan sekadar membawa gelombang reformasi. Hikmah darinya yang paling terkesan ialah penyatuan parti pembangkang.

“Siapa sangka DAP dan PAS boleh duduk dalam satu meja, membentuk Barisan Alternatif (BA), seterusnya bersama PKR bergabung secara rasmi sebagai PR pada 1 April 2008 dan membawa Tsunami Politik Mac tahun sama.

“Saya juga berani katakan bahawa PR sekarang adalah melangkaui Anwar, hasil dari sumbangan beliau membawa pemuafakatan ini sebagai sebuah institusi politik Malaysia. Selagi lagi, UMNO-BN anda sudah silap,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengambil kesempatan memohon hadirin mendoakan keselamatan 227 penumpang, dua daripadanya bayi dan 12 anak kapal pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH 370 yang dilaporkan tidak dapat dikesan berada dalam keadaan selamat. – Roketkini.com

Tiada ulasan: