Khamis, 6 Mac 2014

Liwat II: Ruang mahkamah penuh sesak


 
SALMIYAH & MUHAMMAD FAIZAL


PUTRAJAYA: Rayuan pihak pendakwa terhadap pembebasan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat di Mahkamah Rayuan, Putrajaya bermula pagi ini.

Sesi hari ini bermula dengan penghujahan oleh peguam Timbalan Pendakwa Raya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Rayuan pihak pendakwaan hari ini didengar oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Datuk Balliah Yusof Wahi, Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Terdahulu Anwar tiba di sini kira-kira jam 9 pagi ditemani isterinya, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ibrahim serta dua anak beliau.

Ruang mahkamah penuh sesak dengan penyokong dan pemerhati tempatan dan antarabangsa.

Turut hadir kemudiannya anak sulung beliau Nurul Izzah. Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dilihat berdiri di ruang belakang mahkamah bersama suami.

Sementara itu, di bahagian luar bangunan, hampir 100 penyokong Anwar memenuhi ruang legar hadapan pintu masuk Istana Kehakiman.

Sekumpulan pihak polis turut mengawal kumpulan terbabit. Mereka memasang pita kuning bagi menghalang orang ramai memasuki perkarangan mahkamah.

Sebelum itu, berlaku sedikit kekecohan apabila pihak polis melarang penyokong Anwar dari berhimpun di hadapan pintu masuk Istana Kehakiman itu.

Bagaimanum keadaan kembali terkawal apabila polis membenarkan mereka berada di situ dengan syarat tidak menghalang laluan masuk.

Tiada ulasan: