Jumaat, 7 Mac 2014

Leman Raja Lawak ketuai desakan tetap harga getah


MALAYSIAKINI

Selebriti program realiti TV Leman Raja Lawak semalam mengetuai himpunan beberapa kumpulan petani dan peladang di bangunan Menara Getah Asli bagi menuntut kerajaan menetapkan harga lantai bagi getah beku.

Beliau yang nama sebenarnya Sulaiman Ibrahim bersama-sama Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat yang turut menyertai himpunan itu, turut menyerahkan memorandum kepada Lembaga Getah Malaysia di Jalan Ampang.

Kumpulan lain yang turut serta ialah Gerakan Pekebun Kecil Getah Gen 2, Kampung Nyalas Melaka, Jaringan Anak Petani SeMalaysia, dan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan.

Dalam himpunan itu, Suhaizan menamakan Leman untuk mengetuai 'Gerakan Suara Orang Kampung' sebagai inisiatif  Pemuda PAS bagi "memperjuangkan keperitan hidup petani, penternak dan nelayan".

Dalam memorandum itu, mereka mendesak Lembaga Getah Malaysia mencadangkan kepada kerajaan supaya menetapkan harga lantai getah beku kepada RM4 sekilogram termasuk menyediakan subsidi kepada pekebun kecil getah.

Selain itu, mereka juga menuntut mekanisma penentu Harga Penutupan Fizikel (FOB) yang lebih mantap digubal serta merta bagi menggantikan sistem penetapan harga yang sedia ada sekarang.

Mereka turut mendesak lembaga itu menetapkan kos proses atau kos kilang pada kadar di bawah RM1/sekilogram dan pihak kilang diwajibkan mematuhi peraturan itu jika tidak boleh ditarik balik lesen.

Memorandum itu diterima oleh Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia, Datuk Dr Salmiah Ahmad.

Tiada ulasan: