Abdul Khalid Ibrahim Abdul Khalid Ibrahim


SHAH ALAM- "Konvensyen hari ini agak suram selepas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan kesalahan semalam," demikian menurut Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika memberi ucapan alu-aluan sempena konvensyen PR kali ke-5 di Pusat Konvensyen  Setia Alam hari ini.

Menurut Abdul Khalid, keputusan tersebut sangat mengejutkan,namun, PR tetap bersemangat untuk meneruskan perjuangan mereka walaupun tanpa Anwar disisi mereka nanti.

"Petang semalam, satu keputusan yang sangat mengejutkan berlaku.

"Oleh itu, pada hari ini konvensyen kita agak 'dipatahkan' dengan keputusan tersebut.

"Tetapi bagi pihak PR, kita akan teruskan perjuangan walau terpaksa menghadapi onak dan badai," katanya.

Konvensyen PR kali ke-5 ini membawa moto Pakatan Membela Rakyat.

Turut hadir dalam konvensyen ini Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu.

Anwar semalam  telah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Rayuan, terhadap tuduhan meliwat pembantu peribadinya,Mohd Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.

Panel tiga hakim sebulat suara mengumumkan keputusan itu selepas dua hari mendengar hujahan pendakwa raya dan peguam bela.

Korum yang dipengerusikan Datuk Balia Yusof Wahi turut dianggotai Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh membenarkan rayuan pihak pendakwa raya dan mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sebelum ini melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan itu.

Pihak pendakwaan kemudiannya memfailkan rayuan berhubung keputusan itu dengan melantik Tan Sri Muhammad Shaefee Abdullah mengetuai pihak pendakwa raya.

Sementara itu, Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan hukuman ke atas  Anwar  yang dijatuhi lima tahun penjara selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya.

Mahkamah membenarkan permohonan peguam Karpal Singh, yang mewakili Anwar untuk menangguhkanpelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayua di Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah turut membenarkan Anwar untuk menangguhkan bayaran jaminan sebanyak RM10,000 sebelum jam 11 pagi, Isnin ini.