Ahad, 16 Mac 2014

Konsert liar: Kerajaan tidak sensitif bantahan rakyat

 


HARAKAHDAILY 


 KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa selalunya tidak mengambil kira protes yang disuarakan oleh pelbagai kelompok masyarakat terhadap acara seperti Future Music Festival Asia.

Justeru, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memandang serius insiden enam anak muda meninggal dunia manakala dua lagi dalam keadaan kritikal kerana didakwa mengambil dadah berlebihan semasa menghadiri konsert berkenaan di Stadium Bukit Jalil malam semalam.

“Kami kesal betapa di kala seluruh negara resah dan cemas serta bersimpati dengan ahli keluarga MH 370 yang hilang, negara dikejutkan dengan keliaran anak muda terlibat dalam konsert yang tidak melambangkan budaya dan akhlak yang sepatutnya,” ujarnya presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Katanya, pengumuman Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh dipetik sebagai berkata hari terakhir konsert itu, yang dijadualkan pada malam tadi telah dibatalkan adalah wajar dan sepatutnya dari awal lagi acara ini tidak harus diizinkan.

Kata beliau, pihaknya tidak dapat menerima bagaimana konsert tiga hari itu dilulus yang dijangka menarik lebih 80,000 peminat untuk melihat barisan lebih 70 band dan artis dijadual antara 13hingga 15 Mac 2014.

Beliau menambah, bantahan terhadap acara seperti ini sudah sering disuarakan, namun pihak berkuasa selalunya tidak mengambil kira protes yang disuarakan oleh pelbagai kelompok masyarakat.

Justeru, ujarnya sikap liberal yang diamalkan oleh pihak berkuasa telah diambil kesempatan oleh penganjur yang memberi tumpuan untuk mengadakan acara yang menarik golongan generasi muda.

“Kekhuatiran masyarakat bahawa acara seperti ini akan memberi kesan negatif kepada generasi muda sudah kerap diangkat dan terbukti benar apabila berlaku insiden yang tidak diingini.

“Sebab itu kami menegaskan pihak berkuasa sepatutnya mengambilkira bantahan masyarakat kerana jika kerajaan jujur mewar-warkan rakyat diutamakan, acara seperti ini tidak harus diluluskan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan tempatan bersikap tegas untuk membendung sebarang acara liar seperti itu dan tidak tunduk kepada mana-mana pihak atasan terutama orang politik yang sering diperguna oleh penganjur untuk mendapat kelulusan.

Tiada ulasan: