Sabtu, 1 Mac 2014

Khalid salur kenaikan gaji kepada tabung warisan Selangor

OLEH MOHD FARHAN DARWIS


Khalid menyumbang separuh daripada gaji yang diterima kepada badan kebajikan. - Gambar The Malaysian Insider, 1 Mac, 2014. Khalid menyumbang separuh daripada gaji yang diterima kepada badan kebajikan. - Gambar The Malaysian Insider,


 Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyalurkan keseluruhan kenaikan gaji yang diterimanya baru-baru ini kepada Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas).

Perkara itu disahkan pegawai di Pejabat Menteri Besar kepada The Malaysian Insider, yang berkata jumlah yang disumbangkan Khalid adalah RM15,074.85.

"Betul, beliau sumbangkan kenaikan gaji menteri besar kepada tabung Tawas," kata pegawai tersebut ketika dihubungi.

Dokumen berupa surat rasmi berkenaan perkara itu yang diperoleh The Malaysian Insider turut menyatakan perkara sama.

"Saya dengan ini menyumbang semua wang kenaikan gaji tersebut sebanyak RM15,074.85 ke dalam Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) melalui potongan gaji saya bermula bulan Januari 2014 dan seterusnya," kata surat rasmi Khalid yang diserahkan kepada Pegawai Kewangan Selangor, Datuk Noordin Sulaiman.

Salinan dokumen yang menyatakan persetujuan Khalid menyalurkan sebahagian gajinya kepada badan kebajikan. - Gambar The Malaysian Insider, 1 Mac, 2014.Salinan dokumen yang menyatakan persetujuan Khalid menyalurkan sebahagian gajinya kepada badan kebajikan. - Gambar The Malaysian Insider,Surat bertarikh 28 Januari 2014 itu turut menyatakan, Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 8 Januari 2014 meluluskan pemotongan sebanyak RM4,250 sahaja daripada keseluruhan RM29,250 gaji menteri besar.

Melalui sumbangan Khalid itu, beliau hanya menerima gaji asal menteri besar sebanyak RM14,175.15.
Pengumuman kenaikan gaji menteri besar dan anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sehingga 300% menimbulkan kontroversi.

Timbalan Presiden PKR yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak, Mohamed Azmin Ali, turut mempertikaikan keputusan tersebut, dengan berkata kenaikan berkenaan terlalu besar.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengkritik kenaikan berkenaan.

Khalid berkata kenaikan gaji berkenaan dibahaskan di DUN dan tidak menerima sebarang bantahan daripada mana-mana ahli DUN, sama ada Pakatan Rakyat (PR) atau Barisan Nasional (BN) sebelum ia diluluskan.

Tiada ulasan: