Sabtu, 22 Mac 2014

Khalid kekal MB Selangor, kata Dr Wan Azizah

Oleh Mohd Farhan Darwis


Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih kekal MB Selangor. Gambar fail The Malaysian Insider.Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih kekal MB Selangor. Gambar fail The Malaysian Insider.


























Calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail hari ini berkata beliau tidak tahu jika pertukaran jawatan menteri besar Selangor akan berlaku selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang berakhir.

Presiden PKR itu berkata, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih lagi kekal sebagai menteri besar di negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat (PR) itu.

“Khalid masih lagi menteri besar. Tak, saya tidak tahu (akan berlaku pertukaran menteri besar),” katanya kepada pemberita pada sidang media di Bilik Gerakan PKR di Kajang, petang tadi.

Dr Wan Azizah menggantikan suaminya, yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PKR di DUN Kajang selepas Anwar terlucut kelayakan bertanding apabila Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya atas kesalahan meliwat bekas pembantunya.

Anwar sebelum ini dikatakan akan menggantikan Khalid sebagai menteri besar sekiranya beliau menyertai pentadbiran kerajaan negeri Selangor selepas memenangi kerusi DUN Kajang.

Anwar juga penasihat ekonomi Selangor.

Dr Wan Azizah akan bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun dalam pertandingan satu lawan satu esok.

Kerusi DUN Kajang sengaja dikosongkan penyandang, Lee Chin Cheh daripada PKR untuk membolehkan Anwar menyertai barisan kepimpinan negeri Selangor.

Tiada ulasan: