Selasa, 25 Mac 2014

Kes Karpal: Abdul Gani didesak ambil tindakan disiplin terhadap Timbalan Pendakwa Raya


karpal end session (16)



KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail didesak menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Noorin Badaruddin kerana salah laku ketika mengendalikan kes Karpal Singh.

Majlis Peguam Malaysia (Bar Council) dalam kenyataan 14 Mac lalu berkata, Noorin cuba mengugut serta menekan Hakim agar menjatuhkan hukuman paling berat terhadap Pengerusi DAP Kebangsaan itu, jika tidak mahu institusi diraja dikhianati.

Ia dilampirkan bersama surat yang dihantar firma guaman Karpal Singh & Company kepada Abdul Gani dan juga Noorin, 23 Mac lalu.

Kenyataan itu menyertakan hujah bertulis Noorin kepada Hakim yang menyatakan pihak pendakwa juga menghujahkan bahawa sekiranya hukuman ringan atau yang tidak setimpal dikenakan terhadap tertuduh ia merupakan satu penghinaan kepada institusi diraja negara yang berdaulat ini.

“Maka dihujahkan bahawa mahkamah adalah satu institusi yang wajar memberi pengajaran kepada masyarakat di luar sana, terutamanya mereka yang sedang dan berpotensi melakukan perbuatan seumpama ini bahawa mahkamah sama sekali tidak memandang ringan kesalahan seperti ini,” kata hujah bertulis itu seperti dipetik.

Bagaimanapun, bahagian itu ditolak Hakim berikutan bantahan daripada peguam Karpal.

“Ia jelas membuktikan Noorin cuba mengugut dan memberi tekanan kepada mahkamah untuk memberi hukuman berat kepada Karpal,” kata Majlis Peguam.

Malah, katanya lagi, Noorin berkeras agar Karpal dijatuhkan hukuman penjara walaupun mengakui ia adalah kesalahan pertama beliau dan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Kenyataan itu mengulas hujah bertulis Noorin yang menyatakan, “Merujuk kepada laporan doktor, keadaan kesihatan dan ketidakupayaan fizikal tertuduh bukan faktor relevan yang wajar dipertimbangkan mahkamah dalam meringankan hukuman ke atas tertuduh.”

“Dengan hujah seperti itu, Noorin gagal mendukung kesucian jawatannya, serta untuk bertindak dengan adil dan saksama.

“Demi menegakkan kedaulatan undang-undang dan memelihara kesucian pentadbiran keadilan, Majlis Peguam meminta Peguam Negara menyiasat segera dan jika perlu mengambil tindakan disiplin terhadap Noorin menurut peraturan dan syarat pelantikan beliau,” katanya lagi.

Pada 11 Mac lalu, Karpal didenda RM4,000 selepas dihukum bersalah menurut Akta Hasutan 1948 berikutan kenyataannya berhubung rampasan kuasa kerajaan Pakatan Rakyat Perak pada 2009.

Beliau berisiko hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen, jika rayuannya ditolak Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. – Roketkini.com

Tiada ulasan: