Jumaat, 7 Mac 2014

Kembalikan hak air untuk rakyat jadi legasi terbaru saya – MB

Oleh NAZLI IBRAHIM


KAJANG : Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menganggap jawatan Menteri Besar Selangor yang disandangnya sebagai peluang untuk meneruskan legasi perjuangannya mengumpulkan aset untuk rakyat.

Beliau berkata, legasi itu termasuk kejayaan terbaru memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang mengembalikan industri air Selangor kepada rakyat Selangor.

“Saya ada pengalaman ambil alih aset bermanfaat untuk rakyat. Saya pernah lakukan terhadap Guthrie di London. Saya juga ambil alih aset ladang di Indonesia yang dibeli Guthrie.

“Sekarang saya beli aset air yang jika dimiliki rakyat tentunya lebih baik untuk rakyat Selangor.

“Maknanya, legasi saya cuba dapatkan harta untuk kepentingan rakyat. Harta itu akhirnya bukan untuk saya tetapi untuk rakyat.

“Macam saya beli ladang kelapa sawit di Indonesia pada 2000, ada orang kata saya buang duit tetapi sekarang bila kita beli banyak, kita pula cetak duit.

“(Tapi) Saya taklah dapat duit itu,” katanya pada sidang media Perhimpunan Perdana Badan Pengurusan Bersama (JMB) Perbadanan Pengurusan (MC) baru-baru ini.

legasiAbdul Khalid sebelum menceburi bidang politik adalah ahli korporat yang memiliki kemahiran luar biasa dalam selok belok dunia korporat.

Antara paling diingati dalam peringkat dunia antarabangsa apabila berjaya mengembalikan syarikat peladangan terbesar, Guthrie dari tangan British ke pangkuan Malaysia pada 1981.

Dalam misi yang terkenal sebagai ‘Dawn Raid’ atau ‘Serangan Waktu Subuh’ di kota London itu, Abdul Khalid dipertanggungjawab merancang strategi mengambil alih syarikat peladangan itu secara ‘serangan mengejut’ di Bursa Saham London.

Abdul Khalid pada 2000 ketika menyandang jawatan Ketua Eksekutif Guthrie, berjaya mengambil alih syarikat peladangan kelapa sawit di Indonesia menerusi tender pembelian saham bernilai AS$350 juta.

Legasinya diteruskan dengan kejayaan menyingkirkan Alam Flora sebagai kontraktor kutipan sampah tunggal dan menyerahkan pengurusan sisa pepejal kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sekaligus menjimatkan wang rakyat sehingga RM80 juta setahun.

Beliau juga bertanggungjawab memungut kembali hutang bernilai RM392 juta dari Talam Corporation Berhad (Talam) yang gagal dikutip kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelumnya.- FZL

Tiada ulasan: