Khamis, 27 Mac 2014

Kassim Ahmad didakwa di mahkamah pagi ini

Dr Kassim Ahmad dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di Putrajaya, hari ini terhadap dua pertuduhan melakukan kesalahan menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama dua bulan lalu. - Foto ihsan Twitter Marina Mahathir


PUTRAJAYA – [DIKEMASKINI] Sasterawan dan pemikir, Dr Kassim Ahmad dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini terhadap dua pertuduhan melakukan kesalahan menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama dua bulan lalu.

Kassim @ Osman Ahmad, 81, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Syarie Ummamuddin Yunus.

Bagi pertuduhan pertama, Kassim didakwa menghina, atau menyebabkan Agama Islam dipandang hina oleh lain-lain agama dengan mencemuh amalan yang berhubungan dengan Agama Islam dalam seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian 'Hala Tuju Bangsa dan Negara Malaysia Untuk 30 Tahun Akan Datang'.

Kassim didakwa membentangkan skrip bertajuk Ucapan kepada Konferensi Politik Nasional untuk Menentukan Hala tuju Negara Malaysia untuk tiga puluh tahun akan datang.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 7 (b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Kassim didakwa menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama; dengan mengingkari atau melanggar perintah Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam, Majlis atau Mufti melalui fatwa iaitu Fatwa Wilayah-wilayah Persekutuan berkenaan golongan anti hadis dalam seminar yang sama.

Beliau didakwa  membentangkan satu skrip ucapan yang mempunyai petikan daripada dua buah buku bertajuk 'Hadis Satu Penilaian Semula' (terbitan Media Intelek Sdn Bhd 1992) dan 'Hadis: Jawapan Kepada pengkritik' (terbitan Media Indah Sdn Bhd 1992)  yang telah diharamkan melalui fatwa-fatwa Wilayah Persekutuan yang diwartakan pada 8 Februari 1966 berkenaan Golongan Anti Hadis.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 9 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Yayasan Kepimpinan Perdana, No 1 Jalan PBH, Presint 8, di sini antara jam 9 pagi hingga 5 petang, 16 Februari lalu.

Terdahulu Ketua Pendakwa Syarie, Syarie Wilayah Persekutuan, Ibrahim Deris mencadangkan waran penahanan sementara diberikan kepada tertuduh sementara menunggu tarikh sebutan.

Ibrahim turut mencadangkan bon jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua orang penjamin yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan, namun bergantung kepada budi bicara mahkamah untuk memutuskannya.

Kassim bagaimanapun memohon jaminan diberikan kepadanya kerana faktor usianya dan dia yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

"Saya juga tiada pencen. Hanya bergantung terhadap bantuan tiga orang anak,"katanya.

Mahkamah membenarkan Kassim diikat jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua orang penjamin yang bermastautin di Wilayah Persekutuan dan menetapkan 7 April depan untuk sebutan semula kes itu.

Kassim yang berbaju berwarna cerah dan bertongkat, membayar jaminan tersebut.

Sementara itu, pada seminar berkenaan, Kassim mendakwa Nabi Muhammad SAW tidak perlu dimuliakan, serta rambut wanita bukan aurat, kerana menutup rambut dengan bertudung bermakna udara bersih tidak dapat memasuki rambut yang menyebabkan rambut menjadi busuk.

Semalam, Kassim ditahan pegawai penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim Kedah (PADK) di rumahnya di Kulim Golf and Country Resort kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Tiada ulasan: