Isnin, 3 Mac 2014

Kali ini Anwar kena ikut tempo Khalid

Oleh Abdul Rahman Malik

 
Post Pic
 
 
 
[ULASAN] Kuasa boleh mengubah segalanya. Hanya itu harapan yang Anwar Ibrahim ada. Beliau berharap apabila dapat berkuasa sebagai Menteri Besar Selangor, segala masalah perpaduan dalam parti akan selesai.
 
Sesungguhnya yang menyatukan ahli mana-mana parti politik, termasuk PKR, ialah kuasa. Melalui kuasa segala perubahan atau reformasi yang didambakan akan dapat dicapai. Demi kuasa juga setiap pemimpin harus berkorban. Tidak mengapa jika yang harus dikorbankan ialah sahabat dan ahli parti sendiri. 
 
Kini Anwar telah terlalu hampir dengan kerusi kuasa. Beliau berharapkan kemenangan yang besar tanpa menghadapi cabaran yang getir untuk menjadi ketua eksekutif negeri paling kaya di Malaysia.
 
Jika ikut perancangan, jalan itu tidaklah sebegitu sukar. Lee Chin Cheh sudahpun memberi laluan dengan mengosongkan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang. Khalid Ibrahim pula sudah dengan takzimnya mengumumkan beliau menjadi calon ganti.
 
Keakraban yang diharapkan oleh Anwar untuk membuktikan kepada rakyat betapa kentalnya perpaduan dalam PKR yang wujud untuk menumbangkan Barisan Nasional yang dijadikan simbol rasuah, salahguna kuasa dan kronisme dapat dipamerkan kepada umum.
 
PKR gelojoh hingga parti itu perlahan-lahan ia retak
 
Malangnya, pertunjukan itu tidak kekal lama. Lantaran gelojoh mahu mencipta rekod kemenangan yang besar sekaligus dapat meyakinkan semua pihak, termasuk istana, betapa meluapnya kehendak rakyat mahu reformasi termasuk mengganti Menteri Besar, keretakan perpaduan PKR mula ketara. 
 
Sebenarnya, bukan begitu mudah untuk Khalid Ibrahim melepaskan kuasa. Sebelum ini beliau ialah seorang panglima korporat terbilang. Soal untung rugi adalah panduan hidupnya. Namun lima tahun lalu beliau dimandikan dengan kuasa politik pula.
 
Kedudukan sebagai menteri besar memberinya kuasa lebih besar daripada amanah yang perlu digalas seorang ketua sesebuah badan korporat. Kejayaan yang dicapainya dari kerusi seorang menteri besar adalah berganda nikmatnya daripada memimpin entiti korporat. 
 
Apabila melihat begitu gesit dan pantasnya juak-juak Anwar menyusun langkah untuk “menekan dan memujuknya” melepaskan kerusi kuasanya itu, Khalid berasa tersinggung beliau dianggap pemimpin “pakai-buang”. Ini mencabar maruahnya. 
 
Tidak sukar bagi Khalid mengenalpasti punca konspirasi menjatuhkannya. Sasarannya tentu Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali. Lantas pada 28 Februari lalu, Khalid pun mengumumkan bahawa beliau akan mencabar Azmin untuk jawatan kedua tertinggi dalam parti. 
 
Jika Azmin dapat ditewaskan, Khalid menambah satu lagi aura kuasa untuk dirinya – kali ini berkuasa dalam PKR pula. Di medan korporat seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Azmin sudah dapat ditundukkannya. Begitu juga dalam majlis-majlis kerajaan tempatan. 
 
Saingan Khalid bukan lagi Azmin tetapi Anwar
 
Kini dalam parti pula, pengaruh politik Azmin dapat dikembirikan. Namun Khalid sedar apabila beliau mengorak langkah politik ini, saingan sebenarnya bukan lagi Azmin. Kini beliau berhadapan dengan mentor Azmin – Anwar Ibrahim. 
 
Khalid insaf bahawa memang sudah sekian lama Anwar cuba menguasainya. Kebolehannya hanya dikotakkan Anwar sebagai masuk dalam kategori ekonomi dan kewangan sahaja. 
 
Namun memandangkan Anwar ialah penguasa mutlak dalam PKR, Khalid turutkan juga walaupun Anwar sudah lama menginjak halaman “kuasa”nya apabila beliau mengangkat dirinya sebagai Penasihat Ekonomi Selangor. Walhal Khalid yakin ilmu ekonominya lebih tinggi daripada Anwar.
 
Khalid kini dapat membaca bahawa Anwar sudah masuk ke dalam zon kelemahannya. Apabila secara kurang “waras” Anwar tiba-tiba mahu mengambil alih kerusi Menteri Besar yang didudukinya, Khalid tahu bahawa Anwar terdesak. 
 
Duta kuasa Anwar, Azmin Ali, ternyata bukan tandingannya. Lantas Khalid mencongak kini adalah masa terbaik untuk mengadu kepintaran siasah dengan Anwar. 
 
Langkah pertama pisahkan Azmin daripada Anwar. Azmin mesti disibukkan dengan memasang strategi untuk mempertahankan kedudukannya. Oleh kerana beliau ialah pengarah PRK Kajang, Khalid boleh menentukan sampai tahap mana pembabitan Azmin dalam pilihanraya 23 Mac nanti. 
 
Khalid kini atur langkah politik licik sendiri
 
Khalid sudah menunjukkan tekad tidak mahu berada di bawah telunjuk Anwar. Isu air, beliau selesaikan sendiri. Desakan Anwar dan juak-juaknya supaya beliau menandatangani surat peletakan jawatan menteri besar tanpa tarikh tidak dihiraukannya.
 
Kini mengatur program politiknya sendiri. Lebih 1,000 penyokong yang berhimpun di kediaman rasminya malam Sabtu lalu, pulang ke Cabang masing-masing untuk membisikkan bahawa Khalid sudah bersedia memimpin parti setelah berjaya mentadbir Selangor dengan cemerlang hingga kemenangan besar PRU ke 13. 
 
Perpaduan dan keharmonian PKR kini mula berkocak. Anwar tidak mampu menandatangani borang pencalonan PRK Kajang dalam keadaan partinya kucar kacir.
 
Kali ini Anwar kena berbaik dengan Khalid. Sekurang-kurangnya Anwar kena bersetuju tidak menyebelahi Azmin seperti pemilihan PKR 2010.
 
Kata pepatah “Jong pecah, yu kenyang”. Jika PKR pecah yang tentu kenyang ialah Khalid. Sebelum PRK Kajang lagi beliau sudah menerima perakuan PAS akan terus menyokongnya menjadi Menteri Besar. 
 
Begitu juga Umno. Khabarnya sudah ada wakil Umno yang mula mengenyit mata pada Khalid. Dengan sokongan PAS dan Umno, Khalid sudah pasti menjadi hero 
 
Melayu di Selangor. Aura ini sudah pasti akan semerbak ke seluruh Malaysia. Anwar perlu berhati-hati kali ini. Khalid kini bukan hanya seorang tokoh korporat. Ilmu siasahnya sudah meningkat berlipat ganda. Memang benar kuasa boleh menyatukan. 
 
Bagaimana penyatuan dan perpaduan hanya boleh berkisar pada paksi kuasa yang ada di tangan Khalid bukan Anwar.

Tiada ulasan: