Khamis, 27 Mac 2014

Ilmam ucap takziah buat keluarga Ali Mamak

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (Ilmam) mengucapkan takziah buat keluarga Datuk Osman Jantan (gambar) atau lebih dikenali dengan nama Ali Mamak atas pemergian beliau ke rahmatullah pagi ini.

Menurut Presidennya, Syed Abdul Kadir Aljoofre, Almarhum pernah bersama Ilmam dalam Pray 4 Live in Concert di Bandar Baru Bangi, tahun lalu.

“Beliau dan Abang Abon, sanggup bergegas pulang dari Johor, untuk bersama memberi sumbangan untuk rakyat Mesir, Syria, Gaza dan Rohingya pada malam tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, nasihat santai Almarhum pada malam tersebut diselitkan dengan lawak jenaka sangat memberi kesan kepada yang hadir.

“Buat keluarga Almarhum, Ilmam mengucapkan, moga Allah besarkan pahala kalian, diperbaiki urusan takziah, dan diampunkan dosa Almarhum,” katanya lagi.

Ali merupakan pelawak era 1980-an dilaporkan meninggal dunia jam 4.20 pagi tadi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana kanser tahap kedua.

Tiada ulasan: