Rabu, 19 Mac 2014

FMFA: PKR gesa tubuh suruhanjaya


Shamsul Iskandar


KAJANG - PKR mendesak kerajaan  menubuhkan satu suruhanjaya bebas bagi mengkaji dan memantau penganjuran konsert hiburan bagi mengelakkan kejadian seperti yang berlaku di Konsert Festival Music Future Asia (FMFA), tidak berulang pada masa akan datang.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin berkata, kerajaan Persekutuan sepatutnya menapis terlebih dahulu konsert hiburan seperti FMFA yang katanya boleh dijangkakan kesan negatif yang bakal berlaku.

Beliau dalam pada itu mempersoalkan penganjuran konsert tersebut yang katanya tidak ada keperluan untuk dianjurkan, malah tidak 'sesuai' dengan Tahun Melawat Malaysia.

"Soalnya siapa yang menganjur dan apa keperluan dalam usaha mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2014 menganjurkan program sebegini yang boleh mengundang hal berkaitan penyalahgunaan dadah ini dibenarkan masuk.

"Saya desak satu suruhanjaya bebas segera ditubuhkan agar perkara seperti ini dapat dihalang dan program hiburan yang semai mesej baik dapat kita perbanyakkan di bawah kementerian belia dan sukan," katanya ketika sidang media, hari ini.

Beliau memaklumkan bahawa cadangan ini sebagai peringatan kepada Kementerian Belia dan Sukan.

"Kita sendiri telah berikan penegasan kepada Kementerian Belia dan Sukan agar program hiburan ini dikaji agar menepati bukan sekadar selera anak muda tapi juga menggambarkan citra pendidikan generasi muda,"  katanya.

Jumaat lalu, enam orang pengunjung konsert yang berlangsung di Bukit Jalil, maut akibat pengambilan dadah dipercayai jenis baharu secara berlebihan.

Shamsul dalam pada itu tetap mempertahankan kerajaan negeri Selangor berhubung lokasi penganjuran konsert berkenaan yang dipertikaikan sesetengah pihak.

"Soal negeri, mungkin penglibatannya sekadar menyediakan tempat tapi kalau tak ada program (maka tak ada kematian),"katanya.

Tiada ulasan: