Sabtu, 1 Mac 2014

Exco: Berhemah guna air, elak pembaziran

Oleh : Lizawati Madfa


SHAH ALAM : Dengan keadaan paras air di beberapa empangan yang kritikal ketika ini, penduduk dinasihatkan untuk tidak melakukan sebarang pembaziran air.

Exco Pembangunan Usahawan, Sains Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi berkata, dalam keadaan sekarang rakyat perlu bijak menggunakan sumber air agar bekalan berpanjangan.

air pahangKatanya, mereka perlu elakkan diri dan anggota keluarga daripada menggunakan air untuk perkara yang kurang penting dan yang boleh ditunda.

“Jika ada kerja-kerja rumah seperti membasuh kenderaan, motosikal dan sebagainya yang boleh kita tunggu dulu, kita tunggulah.

“Perkara ini kurang penting berbanding dengan keperluan untuk bersihkan diri, berwuduk dan memasak,” katanya kepada Selangor Kini.

Sebelum ini, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan program penjadualan air di seluruh Selangor bagi menjamin bekalan air berterusan.

Mengulas lanjut, Daroyah turut menasihati orang ramai untuk memperbanyakkan meminum air masak bagi mengelakkan masalah kesihatan.

“Saya juga harap tiada pembakaran terbuka dilakukan dalam keadaan sekarang kerana ia juga mampu memberi kesan kepada kesihatan.

“Bukan itu sahaja, ia juga boleh menyebabkan jerebu dan menyebabkan kualiti udara tercemar,” katanya lagi.

Pagi tadi, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan Pelan Catuan Bekalan Air di beberapa kawasan di Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor disebabkan pengurangan bekalan air terawat.

Tempoh perlaksanaan catuan bekalan air ini dijadual bermula pada 2 Mac ini hingga 31 Mac dan tempoh ini juga tertakluk kepada pindaan dari masa ke semasa.EZY

Tiada ulasan: