Ahmad Said Ahmad Said


KUALA TERENGGANU – “Dua kes lagi yang saya boleh saman pembangkang bila-bila masa sahaja iaitu kes berkaitan lawatan kerja saya ke Antartika yang dikatakan membawa bersama Exco dan saya dikatakan pergi melancong ke sana,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Menurut Ahmad, isu mengenai lawatan kerjanya selama 15 hari ke benua itu sengaja digembar-gemburkan pembangkang tanpa bukti kukuh bagi memburukkan reputasinya.

“Mereka kata saya turut membawa Exco ke sana, mana ada bukti? Satu kes lagi mereka kata saya ke sana untuk melancong dan menghabiskan wang rakyat, mana ada orang ke tempat sebegitu untuk melancong?

“Pada saya, pembangkang sudah kehabisan modal untuk mencari kesalahan kerajaan sehingga setiap perancangan dan pembangunan yang dilaksanakan mendapat komentar negatif walaupun tiada fakta kukuh,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan surat serahan pemilikan dan kunci rumah kepada 92 penerima Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Taman Batin Perdana, Seberang Takir, kelmarin.

Ahmad turut menegaskan, pembangkang hanya bijak menggembar-gemburkan cerita, menghukum terlebih dahulu tanpa menyerahkan kepada pihak berkenaan untuk menyiasat.

“Kalau kata projek yang kerajaan buat ada penyelewengan, buat laporan kepada pihak berkuasa, tunggu siasatan selesai barulah menghukum.

“Ini tidak, belum apa-apa lagi dah keluarkan kenyataan media tanpa sebarang bukti. Akhirnya, kita saman dia,” katanya.

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas kes saman yang dimenanginya ke atas Adun Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan tiga lagi atas dakwaan memfitnah berhubung pembelian uniform sekolah bernilai RM30 juta, tiga tahun lalu.