Jumaat, 21 Mac 2014

DAP saran UMNO-BN cermin dulu diri sendiri sebelum fitnah Kak Wan


_DSC7028

KAJANG: UMNO dan Barisan Nasional (BN) diingatkan mencermin dulu diri sendiri sebelum dengan membuta tuli memfitnah calon Pakatan Rakyat (PR) DUN Kajang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kata Ahli Parlimen DAP Batu Kawan, Kasthuri Patto.

“Saya sangat marah dan kesal dengan beberapa pemimpin UMNO termasuk Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang melabelkan Kak Wan (Dr Wan Azizah) dengan pelbagai perkara, antaranya sebagai boneka.

“Mereka juga mempersoalkan kemampuan Kak Wan jika dilantik sebagai ADUN. Hari ini saya mahu nyatakan, kamu (BN) jangan buli wanita.

“Sebelum fitnah dan serang Kak Wan tanya dulu diri sendiri apa yang telah kamu lakukan selama lebih 50 tahun memerintah negara ini?

“Inilah budaya mereka, kalau tak buli, tipu orang, rompak, curi dan fitnah, itu bukan BN,” tegasnya ketika berceramah di Taman Damai Mewah, Kajang, semalam.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Dr Wan Azizah adalah calon terbaik untuk memimpin Selangor kerana imejnya yang bersih dan tidak pernah melakukan perbuatan terkutuk seperti mana menjadi amalan pemimpin UMNO-BN.

“Saya boleh beri jaminan kepada penduduk Kajang, Kak Wan adalah individu terbaik kerana beliau tidak mengamalkan rasuah, tidak curi duit dan tipu rakyat,” ujarnya.

Pada masa sama, Kasthuri berbesarkan hati mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr Wan Azizah kerana banyak membantu berkempen pada PRU ke-13 lalu sehingga membolehkan beliau menang sebagai Ahli Parlimen.

“Di kawasan saya, Batu Kawan, ada tiga DUN. Masa PRU-13 lalu, Kak Wan datang tolong saya di Bukit Tengah.

“Hasil pertolongan Kak Wan saya menang dengan majoriti lebih 25,000. Hari ini saya datang dari Pulau Pinang ke Kajang untuk membalas budi dan berkempen supaya Kak Wan pula memperoleh kemenangan, seterusnya menjadi ADUN di sini.

“Saya berharap semua penduduk Kajang membuat pilihan tepat dengan memberi undi kepada Kak Wan, Ahad ini kerana kita bukan sekadar mahukan kemenangan tetapi menghantar mesej kuat dan keras kepada BN bahawa kamu sudah ditolak sepenuhnya,” katanya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: