Sabtu, 8 Mac 2014

BN laksana konspirasi jahat, dendam terhadap Anwar

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan konspirasi jahat Umno BN untuk mematikan karier politik ketua pembangkang itu.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata, keputusan itu dibuat kurang seminggu daripada tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil DUN N25 Kajang yang akan ditandingi Anwar.

“Jelas Umno BN berjaya melaksanakan konspirasi jahat mereka untuk membalas dendam terhadap Anwar Ibrahim dan mematikan karier politik beliau.

“AMK Selangor mengutuk sekeras-kerasnya rancangan penuh tipu muslihat ini kerana keputusan penghakiman dibuat dalam keadaan tergesa-gesa dan singkat.

“Mahkamah juga banyak menolak permohonan pembelaan yang dibuat seolah-olah telah bersedia menjatuhkan hukuman yang zalim ini,” katanya dalam satu kenyataan media
Katanya, keputusan tersebut pastinya akan mendapat kritikan antarabangsa serta  mencetuskan kebangkitan baru di kalangan rakyat terutama anak muda.

“Anak muda tidak akan membiarkan mereka ditindas oleh pembodohan seperti ini. Umno Barisan Nasional juga harus bersedia menerima tentangan lebih hebat dari rakyat,” katanya menegaskan jentera AMK Selangor sedang digerakkan untuk menyedarkan rakyat tentang perkembangan kes itu.

“Jika seorang lelaki yang pernah bergelar Timbalan Perdana Menteri boleh dizalimi begini, tidak mustahil rakyat terbanyak akan menerima layanan lebih buruk dari Umno Barisan Nasional semata-mata untuk kekal berkuasa,” ujarnya.

Tiada ulasan: