Isnin, 10 Mac 2014

BERSIH 4 jika bantahan gagal

MALAYSIAKINI




 
 
 
Himpunan BERSIH 4.0 akan diadakan sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengendahkan tuntutan rakyat dalam proses persempadanan semula bermula tahun ini.

Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah (bawah) bagaimanapun berkata, SPR boleh mengelaknya jika mengambil kira bantahan dalam proses berkenaan yang dijangka diumum di parlimen bulan ini.

Menurut Maria, Pasukan Tindakan dan Penyelidikan Persempadanan (DART) akan memimpin bantahan di setiap kawasan parlimen terbabit sementara BERSIH akan terus membuat tekanan menerusi media dan kepada agensi kerajaan berkaitan.

"Jika semua ini gagal dan SPR tidak mahu dengar kerana mempunyai agenda lain, jadi ia (BERSIH 4.0) tidak dapat dielak.

"Jika mereka (SPR) tak mahu dengar, apa lagi pilihan yang kita ada? " kata Maria kepada Malaysiakini selepas majlis pelancaran DART peringkat kebangsaan hari ini.

SPR dijangka membentangkan satu persempadanan pilihan raya baru ke dalam Dewan Rakyat sesi kali ini untuk dibahaskan setelah tempoh persempadanan yang ada pada masa ini melebihi 10 tahun.

Mengikut Perlembagaan, ia perlu dilakukan setiap lapan hingga 10 tahun sekali. Kali terakhir ia dibuat pada tahun 2003 iaitu menjelang pilihan raya umum 2004

Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan membolehkan bantahan cadangan sempadan SPR daripada pemilih terjejas jika ada perwakilan seramai 100 atau lebih pemilih.

Hal inilah yang cuba digunakan BERSIH bagi memastikan persempadanan semula lebih adil.

Naib Pengerusi BERSIH 2.0, Thomas Fann berkata mereka akan  menjelajah seluruh negara untuk mengenal pasti kumpulan teras seramai lima hingga 10 sukarelawan untuk membentuk pasukan DART.

Beliau berkata latihan dan penerangan akan diberikan bagi memastikan rancangan itu berjalan baik.

Bekas ahli jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 Dr Wong Chin Huat pula menerangkan betapa hal persempadanan semula memberi kelebihan undi untuk parti tertentu.

Beliau  yang kini berkhidmat dengan Institut Pulau Pinang berkata, persempadanan semula yang tidak adil menyebabkan nilai undi berbeza di kalangan pengundi sesuatu kawasan, sama ada parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

"Pilihan raya umum 2013 adalah pilihan raya paling adil dalam sejarah. Tapi kita lihat parti PAS memerlukan dua undi untuk sama seperti satu undi Umno.

“Sebelum ini pernah 40 undi PAS bersamaan satu undi Umno. Ini bukan paling teruk.

"Pada 1955, parti negara mempunyai ratio infiniti apabila mendapat undi yang banyak tapi gagal memenangi sebarang kerusi kerana persempadanan ini," kata beliau.

Tiada ulasan: