Ahad, 9 Mac 2014

Anwar sahkan tidak bertanding PRK Kajang


OLEH MD IZWAN


Anwar akan meneruskan sokongan bagi memastikan PRK Kajang dimenangi calon PKR. - Gambar The Malaysian Insider, 9 Mac, 2014.Anwar akan meneruskan sokongan bagi memastikan PRK Kajang dimenangi calon PKR. - Gambar The Malaysian Insider,



Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini, ekoran keputusan Mahkamah Rayuan yang mensabitkan beliau bersalah meliwat bekas pembantunya pada Jumaat.

Dalam ceramahnya di Sungai Chua di Kajang malam tadi, Anwar bagaimanapun memberi amaran kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) supaya tidak menarik nafas lega dengan keputusan tersebut.

"Sekarang apa jadi? Dengan keputusan mahkamah, saya tidak boleh tanding.

"Kalau saya tidak boleh tanding, habiskah? Tidak, mereka salah besar. Saya tidak bertanding, tapi wakil saya yang kuat akan bertanding atas nama saya," kata Anwar di hadapan kira-kira lima ribu hadirin di tapak pasar malam Sungai Chua, Kajang.

Anwar juga menggesa penduduk Kajang supaya memilih calon penggantinya.

"Kita kena bagi mesej clear. 11 Mac minta kawan datang masa penamaan calon. 23 Mac saya minta anda semua  ajar orang sombong dan korup.

"Anda semua beri sokongan kuat kepada Pakatan Rakyat (PR)," katanya lagi disambut dengan sorakan.

Anwar berkata akan terus memainkan peranan dalam membantu pentadbiran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim walaupun tidak bertanding di Kajang

"Tadi mesyuarat PR, Kit Siang daripada DAP, Hadi daripada PAS, kita dah putuskan, Ya, Anwar tidak tanding tapi Anwar mesti terus main peranan lebih penting di negeri Selangor
"Bantu supaya angkat negeri Selangor. Saya akan di sini!" kata Anwar.

Jumaat lalu, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Balia Yusuf Wahi yang mengetuai panel tiga hakim itu bagaimanapun, membenarkan permohonan Anwar untuk menangguhkan keputusan itu sehingga rayuan dibuat kepada Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan itu.

Anwar kemudian dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dan dibenarkan meninggalkan mahkamah.

Selain itu, para pemimpin PR juga berikrar akan menganjurkan demonstrasi jalanan bagi membantah keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Dalam pada itu, Khalid berkata pelan rekonsiliasi nasional PR dan BN bersama tidak akan dilaksanakan selagi Anwar masih lagi disabitkan dengan kesalahan liwat, kali kedua dalam tempoh 15 tahun.

Anwar juga mendedahkan PKR menyenaraikan 12 nama untuk menggantikan beliau dalam PRK Kajang.

Keputusan mengenai calon pengganti Anwar bagi PRK Kajang dijangka akan diumumkan selewatnya sehari sebelum penamaan calon pada 11 Mac ini.

Tiada ulasan: