Ahad, 2 Mac 2014

Air percuma sekurang-kurangnya 5 tahun lagi

MALAYSIAKINI



 
 
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan penduduk Selangor bakal memperolehi air percuma dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, ekoran termeterainya perjanjian Memorandum Persefahaman (MOU) dengan kerajaan persekutuan, 26 Febuari lalu.

Khalid juga mewar-warkan rakyat Selangor akan menerima aset air berbentuk saham.

Katanya, apabila negeri maju rakyat mewah pendapatan negeri mesti dilimpahkan semula kepada rakyat.

"Alhamdullillah air percuma 20 meter padu untuk setiap rumah yang ada meter akan diberi sekurang-kurangnya 3 tahun atau 5 tahun yang akan datang.

"Dan kita berjanji apabila kita selesai melancarkan masalah air ini kita juga kan memperkenalkan satu konsep baru dalam pemilikan harta.

"Kita akan memberikan aset air dalam bentuk saham kepada seluruh rakyat Selangor," katanya ketika berucap dalam perasmian Fiesta Sate Selangor di Stadium Kajang semalam.

Khalid mengucapkan terima kasih kepada rakyat Selangor, berkat doa kerajaan negeri berhasil memiliki hak menguruskan bekalan air sendiri.

Justeru itu, melalui persefahaman itu krisis air dijanjikan tidak berlaku lagi.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Selangor kerana atas doa saudara-saudara, kita telah selesai menandatangani mengambil aset air untuk menjadi milikan negeri dan milikan rakyat Selangor.

"Jadi kita tidak ada masalah air lagi," katanya.

Sebelum ini dilaporkan, Khalid Ibrahim menandatangani MOU antara kerajaan Selangor dan Kerajaan Persekutuan, membolehkan kerajaan negeri mengambil alih ekuiti empat syarikat konsesi air, yang akan menerima pampasan RM 9.65 bilion.

Kerajaan persekutuan pula menyuntik dana berjumlah RM 2 bilion bagi membantu negeri ini menguruskan syarikat-syarikat berkenaan.

Sebagai balasan, Selangor akan membenarkan kerajaan persekutuan untuk meneruskan pembinaan loji rawatan air Langat 2.

Tiada ulasan: