Rabu, 26 Mac 2014

Ahli Parlimen PAS gesa kerajaan guna hubungan diplomatik desak kerajaan Mesir

OLEH DIYANA IBRAHIM


Ahli Parlimen PAS hari ini mendesak kerajaan menggunakan hubungan diplomatiknya dalam memberi tekanan kepada Mesir di atas tindakan mahkamah negara itu menjatuhkan hukuman mati ke atas 529 ahli Ikhwan Muslimin.

Ahli Parlimen Temerloh Nasruddin Hassan (gambar) berkata, ‎isu seperti ini tidak sepatutnya dipandang remeh kerana ia melibatkan pencabulan demokrasi, keadilan termasuk melibatkan negara Islam.

"Ini solidariti kita bersama rakyat Mesir bahawa ini sudah melampaui dan melanggar hak asasi manusia," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau menyokong pendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam meningkatkan tekanan diplomatik  ke atas kerajaan Mesir termasuk menggantung keahlian negara tersebut di dalam Liga Arab, Pertubuhan Bangsa Bersatu PBB dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

"Ini sempena mencontohi tindakan kesatuan Afrika yang menggantung keahlian Mesir kerana tindakan rejim menceroboh demokrasi dan membunuh rakyatnya sendiri," katanya.

Beliau juga memberitahu PAS sudah menyerahkan memo bantahan kepada pihak Kedutaan Mesir di Kuala Lumpur bagaimanapun mendapat sambutan dingin daripada duta tersebut.

Katanya PAS tidak dibenarkan bertemu duta Mesir di Malaysia dan hanya boleh menyerahkan memo tersebut melalui pegawai keselamatan.

Ahli Parlimen Idris Ahmad berkata, tindakan kedutaan itu secara tidak langsung menggambarkan sikap kejam negara tersebut.

"Kita tidak disambut dengan ‎baik, dihalang oleh pegawai keselamatan dan ini menunjukkan bahawa mereka langsung tidak mempedulikan keadilan," katanyya.

Dalam memo bantahan yang diserah kira-kira jam 11.30 tengahari itu antaranya menuntut Mesir membatalkan keputusan mahkamah tersebut selain melepaskan segala tahanan yang bermotifkan politik termasuk melepaskan kumpulan 529 ahli Ikhwan.

"Kita juga mendesak agar kajian bebas terhadap pentadbiran undang-undang dilakukan agar mahkamah lebih bebas dan telus daripada pengaruh politik rejim," katanya.

Tiada ulasan: