Abdul Khalid Ibrahim Abdul Khalid Ibrahim


KAJANG - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi isyarat kepimpinannya masih relevan dan wajar diteruskan, malah menegaskan tidak akan tunduk kepada desakan meletak jawatan selagi dipilih rakyat.

“Saya tidak tipu rakyat Selangor, saya buat kerja kerana ALLAH, rakyat boleh tengok wajah saya ketika bersalam. Saya mohon teruskanlah bersama PR dalam PRK Dun Kajang nanti,” katanya yang juga Pengarah PRK N25 Kajang dalam satu ceramah sempena Karnival Usahawan Selangor di Bandar Kajang.

Beliau turut mengingatkan pengundi Kajang menyokong calon PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana PR berjaya mentadbir Selangor dengan baik.

“Kalau saya ada masa bersalaman dengan anda...pandanglah wajah saya. Melalui pandangan itu saya nyatakan kepada rakyat saya buat kerja kerana ALLAH.
“Lihat sendiri kejayaan Selangor, kita buktikan melalui angka bukan cakap kosong.

"Pada 2007, rizab simpanan kerajaan negeri hanya berjumlah RM500 juta, tapi selepas saya menerajui Selangor, saya berjaya mengumpul sebanyak RM3,000 juta.  Alhamdulillah, ini semua rezeki rakyat Selangor,” katanya.

Abdul Khalid menegaskan, beliau mengamalkan prinsip ketelusan dalam menjalankan tanggungjawab tanpa mengambil kira tujuan untuk mengaut keuntungan semata-mata.

“Sebab itulah saya berani berdepan dengan anda semua. Dalam pentadbiran saya, tidak ada satu ahli Exco termasuk menteri besar dapat tanah daripada Kerajaan Negeri Selangor.

“Apabila bekerja, kita buat kerja betul-betul. Kalau kita fikir harta kekayaan...lebih baik berhenti, cari kerja lain,” katanya.

Sebelum ini pelbagai spekulasi timbul mengenai Abdul Khalid, antaranya akar umbi parti dilaporkan tidak berpuas hati dengannya kerana sering membelakangkan parti dalam membuat keputusan berkaitan pentadbiran negeri Selangor.

Pencalonan Anwar di Kajang pula, kemudiannya diuar-uarkan dirancang untuk menggantikan Abdul Khalid.

Perkara itu kemudian dikukuhkan dengan kenyataan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang mendakwa kegagalan Anwar bertanding di Kajang akibat sabitan kes liwat tidak membantutkan langkah parti.

Memetik kenyataan Azmin, matlamat utama PRK Kajang itu sengaja diadakan bagi memberi platform kepada Anwar masuk campur pentadbiran negeri Selangor.

Azizah bagaimanapun ketika ditanya mengenai perkara itu, enggan mengulas dan menegaskan jawatan bukan keutamaannya.