Khamis, 31 Januari 2013

Wan Azizah kempen untuk semua calon bantu Pakatan menang

Oleh Aisha Geoffrey

KUALA LUMPUR : Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan berkempen untuk semua calon dari parti itu membantu kemenangan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13).

Menurutnya, beliau tidak bertanding PRU 13, namun akan sentiasa memberi sokongan kepada calon mewakili KEADILAN termasuk Pakatan.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh selama dua penggal itu berkata, walaupun beliau tidak layak bertanding untuk kerusi Parlimen, tetapi beliau masih boleh bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).



“Saya layak untuk bertanding, dan saya memang pengundi di Permatang Pauh. Tetapi kali ini biarlah saya berkempen untuk semua, membantu Pakatan Rakyat menang,” katanya kepada Keadilan Daily ketika ditanya berkenaan kerusi mana akan ditandingi beliau nanti.

Sebelum ini, beliau tidak menolak kemungkinan akan bertanding di mana-mana kerusi DUN pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya mahu bebas berkempen di semua tempat. Jika saya bertanding, saya akan terhad kepada kawasan saya,” katanya.

Beliau turut menyeru semua jentera KEADILAN agar memperkemas gerak kerja menjelang pilihan raya.
“Dalam Mesyuarat MPP (Majlis Pimpinan Pusat) Isnin lalu, kita (KEADILAN) dah bincangkan semua tentang pilihan raya, agihan kerusi dan sebagainya. Kita dah bersedia,” katanya lagi.

Wan Azizah mula bertanding dalam PRU 1999 selepas suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara ekoran tuduhan jahat Umno BN.

Wan Azizah meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh pada 31 Julai 2008 bagi memberi laluan kepada suaminya bertanding di kerusi itu pada pilihan raya kecil, selepas dibebaskan pada 2 September 2004.

Tiada ulasan: