Khamis, 24 Januari 2013

Wakil rakyat wajar setia kepada pengundi masing-masing



Oleh Beruang Hijau

Secara rasmi pilihan raya yang akan diadakan pada tahun ini adalah yang ke-13. Ia menjadi ke-13 kerana dikira bahawa pilihan raya umum pertama ialah pada tahun 1959, iaitu dua tahun selepas Malaya merdeka.

Tetapi tidakkah pilihan raya pertama di Malaya berlangsung pada tahun 1955? Maka dikatakanlah bahawa pada tahun itu Malaya belum merdeka. Tetapi tidakkah Malaysia belum terbentuk ketika itu? Maka pilihan raya pertama Malaysia sebenarnya berlangsung pada tahun 1964. Maka kalau dikirakan begitu, pilihan raya tahun 2013 ini adah yang ke-12.

Dalam keadaan ini, maka lebih baik disebut pilihan raya umum 2013 supaya tiada perdebatan. Dari tahun 1955 hinggalah sekarang, parti-parti yang masih masih ada ialah Umno, MCA, MIC dan PAS.

Parti-parti Sarawak dan Sabah belum ada kerana kedua-duanya belum bergabung dengan Malaya. Dua parti komponen Barisan Nasional, Parti Progresif Rakyat yang sebelumnya bernama Parti Progresif Perak (PPP) dan Gerakan Rakyat Malaysia juga belum wujud.

Sementara parti-parti Pakatan Rakyat lain iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat juga belum wujud. Namun begitu Parti Rakyat Malaya yang bergabung untuk menjadi Keadilan sudah ada.

Namun begitu, MCA, MIC dan PAS mempunyai nama berbeza kerana Malaysia belum ditubuhkan. MCA ialah Persatuan Cina Malaya, MIC Kongres India Malaya dan PAS bermula sebagai Persatuan Islam Se-Tanah Melayu dengan kependekannya ialah PMIP.

Tetapi pada tahun 2013, walaupun ada perubahan nama, MCA, MIC dan PAS adalah parti yang sama pada pilihan raya umum 1955. Yang sudah berubah ialah Umno.

Ini kerana Umno diharamkan pada tahun 1987. Dua parti menggantikannya iaitu Umno Baru dan Parti Semangat 46. Hanya pada tahun 1996, Parti Semangat 46 dibubarkan dan ahli-ahlinya menyertai Umno Baru, yang menukarkan namanya untuk menjadi Umno saja.

Hakikatnya Umno yang ada hari ini ialah Umno Baru. Parti ini tidak sama dengan Umno tahun 1955 yang memperoleh dokongan menyeluruh orang Melayu hingga Perikatan Umno-MCA-MIC menyapu bersih semua negeri di Malaya.

Tetapi pada pilihan raya 1957, sokongan orang Melayu telah terjejas apabila Kelantan dan Terengganu dimenangi oleh PAS.
Sebenarnya dalam pilihan raya ini, PAS berpakat dengan Parti Negara.

Sebahagian orang Melayu tidak puas hati dengan Umno. Kedudukan orang Melayu amat lemah dan banyak tolak ansur diberikan oleh Tunku kepada orang Cina. Selain itu, Islam tidak jelas diutamakan.

Terengganu yang dimenangi oleh PAS telah jatuh ke Umno apabila ada Ahli Dewan Undangan Negerinya melompat. Tidakkah beliau mengkhianati pengundi-pengundi yang memilik beliau kerana PAS. Tetapi begitulah Umno tidak menghormati pilihan rakyat dalam hal menarik ADUN parti lawannya hingga kerajaan negeri tumbang.

Terengganu adalah kes pertama kerajaan negeri beralih ke tangan Perikatan-Barisan Nasional. Hakikatnya langkah itu merupakan pengkhianatan kepada kehendak majoriti pengundi di sesuatu kawasan pilihan raya dan negeri berkenaan.

Selepas Terengganu pada tahun 1959, ia terus berlaku di negeri-negeri lain pada pilihan rata kemudiannya. PAS pun boleh dikatakan tidak menghormati pengundi-pengundi yang memilihnya pada tahun 1969. Ini kerana dengan menyertai Barisan Nasional, tentunya ia melanggar kehendak rakyat yang tidak mahukan kerajaan pimpinan Umno.

Tentulah pengundi Kelantan yang memilih PAS mengehendaki parti ini yang memerintah negeri itu. Tetapi dengan penyertaannya ke dalam Barisan Nasional, Kelantan mendapati dirinya diperintah juga oleh Umno.

Sememangnya dari segi sistem demokrasi berparlimen dan undang-undang, ia adalah sah. Tetapi tidak dari segi etika. Bukan saja PAS, tetapi Gerakan dan PPP yang turut menyertai Barisan Nasional.

Pada tahun 1969, rakyat Pulau Pinang memilih Gerakan yang bererti mereka menolak MCA. Tetapi dengan penyertaan parti itu ke dalam Barisan Nasional, rakyat negeri itu mendapati mereka terus diperintah oleh Umno dan MCA juga.

Selepas tahun 2008, kerajaan Pakatan Rakyat di Perak juga tumbang kerana ADUN-nya melompat yang tentunya kerana usaha Barisan Nasional. Malah tindakan Ibrahim Ali menentang PAS tentu mengecewakan pengundi Pasir Mas. Mereka mengundi Ibrahim kerana restu PAS.

Setiap calon pilihan raya dari apapun parti mesti menghormati pengundi. Mereka tidak wajar melompat. Sebaiknya mereka harus tunggu habis penggal jika mahu beralih parti. Atau sekurang-kurangnya meletak jawatan supaya pengundi boleh memilih wakil lain.

Sebagai contoh, penulis mengundi calon PAS sebagai ADUN bagi Gombak Setia. Beliau bukan saja menang tetapi dilantik sebagai Exco kanan kerajaan negeri Selangor.

Sayangnya beliau tidak mematuhi kehendak parti dan akhirnya membawa kepada pemecatannya. Tentu tindakan beliau itu merupakan bentuk sikap tidak setia kepada pengundi yang menyokong PAS.

Sememangnya ahli politik dan parti politik bermain politik untuk mendapatkan kuasa dan melaksanakan dasar-dasarnya. Tetapi mereka wajar menghormati para pengundi dalam apa jua keadaan. Inilah etika demokrasi. Dari segi Islam pula, tentulah nilai kesetiaan dijunjung tinggi.

Tiada ulasan: