Bekas anggota Majlis Syura Ulama PAS Ahmad Awang menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan membincangkan ucapan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi yang didakwa sebagai amanat yang bertentangan dengan Islam.

Katanya, setahunya belum ada fatwa atau pendirian yang diputuskan daripada majlis itu berhubung amanat tersebut, sekalipun perkara itu berlaku berlaku 30 tahun lalu, dan kini ia dibangkitkan semula.

"Adakah Majlis Fatwa dan mufti membuat keputusan, dan dengan sebab fatwa itu, beliau (Abdul Hadi) dianggap berdosa besar. Setahu saya, belum ada daripada Majlis Fatwa berbincang untuk mengeluarkan fatwa atau menetapkan pendirian (mengenai perkara ini).

"Kalau (ada) fatwa, adakah Abdul Hadi dipanggil untuk memberi keterangan. Jangan senang-senang dan menentukan ini halal, ini haram.

"(Jika ingin) mengeluarkan fatwa, kena panggil Ustaz Hadi... kerana yang tahu perkara itu Ustaz Hadi sahaja sebab dia yang bercakap," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Tegasnya lagi, sekiranya amanat Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang disahkan atau menyalahi fatwa yang diputuskan, maka Jabatan Agama Terengganu diminta mengambil tindakan dan membawa perkara itu ke mahkamah memandangkan ucapan itu dibuat di Banggol Peradong, Terengganu.

"Jika sabit ucapannya itu tidak menepati apa yang difatwakan, maka beliau bebas daripada kesalahan. Majlis Fatwa berdasarkan isu ini, tidak boleh menjatuhkan hukuman.

"Mereka umpama peguam negara atau menjadi penasihat undang-undang. Oleh sebab itu, penguatkuasa atau polis membawa perkara ke mahkamah," katanya.

Ahmad yang pernah bertugas di bahagian hal ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri suatu ketika dahulu, mengulas kenyataan pelbagai pihak termasuk Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang menggesa Abdul Hadi menarik balik amanat itu.

Ini kerana, ia didakwa telah menyebabkan pepecahan umat Islam di negara ini.

Mengulas lanjut, Ahmad menempelak Harussani supaya tidak bersikap terus menghukum dengan menyatakan bahawa Abdul Hadi telah melakukan kesalahan tanpa mendapat penjelasan Abdul Hadi.

"Tak boleh mufti (Perak) jadi hakim keluar pandangan (bahawa) ini salah ... Terus menghukum dia... Dia (Harussani) tidak mengikut kelayakannya dan hak dalam lingkungannya (iaitu) berbincang tentang perkara itu (terlebih dahulu sebelum memberi pandangan).

"Dia tidak boleh tuduh orang. Dia tak boleh jadi hakim, dengan senang kata orang itu salah. Panggil Ustaz Hadi beri penjelasan," katanya.

Ahmad yang juga seorang pendakwah turut menasihatkan Jakim yang diketuai ketua pengarahnya Datuk Mustapha Othman supaya segera memanggil mesyuarat bersama-sama Majlis Fatwa membincang berhubung perkara ini termasuk memanggil Abdul Hadi memberi penjelasan.

Abdul Hadi sebalum ini dilaporkan sedia menjelaskan berhubung ucapan yang dianggap 'amanat' sekiranya media arus perdana - TV1 dan TV3 - memberi ruang untuk beliau berbuat demikian secara langsung dari kaca televisyen.

Bagaimanapun, pelbagai pihak mengecam Abdul Hadi kerana meletakkan syarat jika mahu memberi penjelasan di televisyen.