Oleh Norhayati Yusof
Saya ingin berkongsi pengalaman dan perasaan sebagai seorang ibu yang bekerja tentang isu kemudahan untuk wanita bekerja. Kita semua ada anak-anak, malah ada yang sudah besar dan kini berkeluarga dan bekerja. Saya juga pernah melalui peranan ibu bekerja.
Bantuan kewangan bulanan
Bagi ibu yang berpendapatan kurang dari RM2,000 sebulan, apakah kemudahan yang kerajaan sediakan untuk menjaga anak-anak mereka? Kalau seorang anak memerlukan penjagaan RM250 sebulan, bagaimana jika ada dua atau tiga anak? Ke mana hilangnya penat lelah bekerja bagi si ibu?
Di Britain, setiap anak akan diberi bantuan automatik RM200 setiap bulan. Kalau tiga anak, ibu mendapat RM600 sebulan bantuan dari kerajaan. Bukan itu sahaja, terdapat banyak pusat penjagaan anak-anak yang disediakan majikan atau kerajaan. Mengapa ia tidak dilaksanakan di Malaysia?
Takkanlah pemberian BR1M sebanyak RM500 setiap pilihanraya atau setiap lima tahun boleh membantu keluarga?
Cuti bersalin
Kita amat bersyukur kerajaan Malaysia telah memberikan cuti 3 bulan kepada wanita bersalin. Tetapi apa yang saya nak tegur adalah siapa yang nak menjaga kami selama satu bulan pertama selepas bersalin?
Suami hanya diberikan cuti seminggu bagi penjawat awam manakala pekerja swasta diberi cuti 3 hari sahaja. Sepatutnya, paling kurang suami patut diberi cuti 2 minggu untuk ibu bersalin biasa dan sebulan bagi ibu yang menjalani pembedahan cesaerian.
Apabila anak kami bersalin baru-baru ini, saya dan suami saya yang menjaganya selama sebulan lebih. Suaminya hanya diberi cuti 3 hari sahaja. Anak saya terpaksa menanggung jahitan yang banyak berikutan pembedahan dan dia juga sedang menyiapkan tesis ijazah sarjananya.
Saya ingin mencadangkan bahawa wanita diberi kebenaran mengambil cuti bersalin dua minggu sebelum tarikh kelahiran yang dihisabkan doktor. Saya amat kasihan melihat rakan-rakan guru yang naik turun tangga sekolah seperti saya dahulu apabila mengandungkan anak kelima.
Saya bernasib baik semasa mengandung anak pertama dan kedua kerana masa itu saya tidak bekerja sepenuh masa. Semasa mengandung anak ketiga dan keempat, saya mengikut suami belajar di Scotland.
Saya berpengalaman naik turun tangga sekolah bagi anak kelima sahaja. Selalunya dua minggu atau seminggu sebelum bersalin merupakan masa yang sangat kritikal bagi ibu-ibu yang mengandung.
Kalaulah diberi cuti pada masa itu, alangkah bahagianya ibu-ibu ini. Tak kan kita nak biarkan wanita menanggung siksaan sebegitu rupa.
Syarat bersara pilihan
Sebagai seorang wanita, kita bukan sahaja bertanggungjawab terhadap suami dan anak-anak kita tetapi kita harus menjaga ibu bapa kita yang telah tua. Ini adalah tanggungjawab keluarga, agama dan masyarakat.
Kalau dulu wanita boleh bersara pilihan umur 45 tahun dan mendapat pencen pada setiap bulan, malangnya, kini syarat itu telah dimansuhkan. Mengikut pekeliling baru, penjawat awam yang dilantik bekerja selepas 1 April 1991, jika mereka memilih untuk bersara pilihan, mereka tidak akan menerima pencen bulanan.
Pencen bulanan akan diberi apabila mereka ini mencecah umur 56 tahun. Perkara ini terjadi pada diri saya sendiri. Saya telah bersara pilihan umur 48 tahun kerana untuk menjaga ibu bapa saya yang telah tua. Tetapi saya diberitahu bahawa saya akan menerima pencen bulanan saya hanya bila saya mencecah umur 56 tahun.
Saya rasa ini adalah dasar yang kejam. Tidakkah kerajaan bersyukur bahawa saya memilih untuk menjaga ibubapa saya dan tidak membebani belanjawan kerajaan?
Kenapa aniayakan kami yang sedia berkhidmat untuk suami atau ibu bapa yang sakit? Apakah ibu bapa dan suami kita semua tidak akan jatuh sakit? Apakah kita semua sihat dan boleh bekerja sehingga umur 60 tahun?
Jika kerajaan yang ada enggan melaksanakan tanggungjawabnya kepada rakyat, khususnya kepada wanita dan ibu, kita perlu memilih kerajaan yang lebih prihatin. Bukan sahaja kerajaan yang baru perlu menjaga dan menghormati hak wanita, ia juga wajib menjaga pendidikan anak-anak kita.
Kita harus memilih kerajaan yang menghargai wanita yang berkerja dengan skim pekerjaan yang lebih baik dan berperikemanusiaan agar bukan sahaja diri, malah ibu bapa serta anak-anak dapat dijaga dengan baik. – Roketkini.com
Penulis adalah guru Bahasa Inggeris yang telah bersara pilihan dan kini melibatkan diri dengan penulisan serta penerbitan buku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan