Ahad, 27 Januari 2013

Syabas gagal urus, kenapa Selangor dipersalah?



Oleh ARIF ATAN 

KRISIS air sengaja dicipta Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bagi meracuni pemikiran pengundi di negeri ini supaya menolak kepimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat dalam PRU13 nanti.Buktinya, dapat dilihat pada kawasan-kawasan yang mengalami keputusan bekalan air.


Walaupun, rumah pam Wangsa Maju dilaporkan rosak pada 29 Disember 2012 lalu tetapi penempatan bandar padat penduduk di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat iaitu Ampang, Bandar Tun Razak dan Pandan antara kawasan yang menjadi mangsa percaturan politik jahat Umno-BN.

Akibatnya, rakyat yang sudah sedia susah jadi mangsa pada ketika gaji Ketua Pegawai Eksekutif Puncak Niaga yang memiliki SYABAS mencecah RM425,000 sebulan selain sudah tentu mahligainya tidak pernah putus bekalan air.

Misalnya, seorang surirumah dari Flat Taman Dato' Ahmad Razali di Ampang mengeluh kepada Harakah 21 Januari lalu, air di sana hanya ada pada waktu siang sahaja manakala setitis air pun tiada apabila tiba waktu malam.

"Lori tangki ada hantar air tapi tak larat nak angkut air setiap hari," kata warga emas yang tinggal di tingkat 3 salah satu blok di flat empat tingkat tersebut.

Projek Loji Langat 2 alasan paling popular Syabas danUmno-BN yang sanggup menzalimi rakyat di kawasan terbabit.

Ketua Pemuda Umno Selangor, Ungku Md. Salleh Ungku Abdul Jamal dalam Sinar Harian, 20 Januari lalu dipetik mendakwa isu air tersebut sebenarnya mudah diselesaikan tetapi baginya Menteri Besar Selangor sengaja mahu menyusahkan rakyat.

Bekalan air yang terputus sejak berminggu-minggu itu kononnya boleh diselesaikan dengan pembinaan loji menyalurkan air mentah dari Pahang itu.

Namun, bagi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim gangguan bekalan air di Lembah Klang tiada kaitan langsung dengan cadangan Loji Langat 2.

Sebaliknya, Syabas sendiri dilanda krisis pengurusan apabila tidak cekap mengawal 30 peratus bekalan air terawat yang dibazirkan.

Sepatutnya, wang bagi projek bernilai RM8.6 bilion itu digunakan untuk memperbaiki kebocoran air dalam sistem pembekalan.

Realitinya di ambang PRU-13, air telah dijadikan "senjata" Umno-BN bagi memburukkan imej kerajaan negeri Pakatan Rakyat terbukti apabila Menteri Besar Pahang bersuara.

Berita Harian, Ahad lalu juga memetik kenyataan Dato' Seri Adnan Yaakob sebagai berkata, rakyat Selangor harus berfikir untuk mengembalikan semula pemerintahan Selangor kepada Kerajaan Umno-BN jika ingin bekalan air sentiasa ada tanpa sebarang gangguan.

Isu air di Selangor juga peluang Umno-BN tunjuk prihatin kepada rakyat.

Misalnya, pada 13 dan 15 Januari lalu ratusan tong percuma diedar kepada penghuni Asrama Siswi Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) di Taman Shamelin Perkasa, Cheras dan penduduk di Taman Dagang, Ampang oleh Ketua Pemuda Umno Selayang, Dato' Sohaimi Shahadan.

Walhal, kelibat Sohaimi yang juga pemilik "iPad 1Malaysia" dikatakan muncul dalam penggambaran iklan propaganda masalah air di Selangor di Petaling Jaya.

Malaysiakini dalam laman video YouTube melaporkan, penduduk yang mahu jadi pelakon tambahan beratur mengangkut tong air dari lori tangki Syabas diupah RM50!

Bagi Pengerusi Syabas, Tan Sri Rozali Ismail pula, bekalan air di Lembah Klang akan berterusan terjejas sekiranya cadangan menambah baik dan menaik taraf loji tidak diluluskan kerajaan negeri.

Walhal, Syabas gagal mengambil kira perancangan jangka panjang dalam aspek penyenggaraan, sistem naiktaraf, pemantauan berkala, sistem sokongan lebih efektif dan pengurusan berwibawa seperti pernah disebut Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin.

Sikap Syabas yang berkeras membuat sabotaj air pada ketika kerajaan negeri hanya memegang 30 peratus ekuiti di dalamnya wajar dibalas dengan tindakan mahkamah.

Hal tersebut diakui bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abdul Aziz Bari setelah mendapati jalan rundingan menemui jalan buntu.

Matlamatnya satu supaya penstrukturan semula industri air di negeri penjana ekonomi Malaysia itu dapat diselesaikan.

Syabas gagal menunaikan tanggungjawab hakikinya membekalkan agihan air seperti yang termaktub dalam perjanjian konsensi termasuklah menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) kepada 30 peratus.

Akibatnya, mekanisme agihan air terawat kepada pengguna tidak berjalan lancar dan mengundang gangguan bekalan air yang serius di Lembah Klang.

Selagi Syabas gagal menurunkan kadar NRW selagi itu pengguna berdepan masalah kekurangan air terawat walaupun siap dibina Langat 2 misalnya.

Isu masalah air ini menjadi bukti betapa tidak berupayanya Puncak Niaga dan Syabas mengendalikan pengurusan air.

Bagaimana Syabas boleh tidak punya cukup wang dan gagal mematuhi perjanjian konsesi sedangkan syarikat itu memonopoli agihan air terawat kepada pengguna di Lembah Klang dalam konsesi selama 30 tahun 'anugerah' daripada Umno-BN?

Sudah tiba masanya operasi air daripada syarikat konsesi itu diserah kembali kepada kerajaan negeri. Tanpa kerjasama kerajaan pusat dengan membenarkan kerajaan negeri mengambil alih operasi air masalah air di Lembah Kelang sukar diselesaikan.

Penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor yang lengkap memiliki data-data bekalan air dengan terperinci tanpa perlu bergantung pada Syabas bukti Pakatan Rakyat sudah mampu menguruskan air dengan berkesan.

Tiada ulasan: