Bangunan asrama yang menempatkan 40 blok itu dikesan mengalami kerosakan sejak 2005.
KUALA SELANGOR; Peruntukan sebanyak RM20 juta telah disalurkan kepada Universiti Selangor (Unisel) bagi membaikpulih bangunan asrama di Bestari Jaya, di sini.
Perkara tersebut diberitahu oleh Naib Canselor Unisel, Prof Anuar Ahmad kepada FMT ketika membuat tinjauan menjelang pendaftaran pelajar baru hari ini.
Bagaimanapun Anuar berkata, peruntukan tersebut tidak akan disalurkan secara terus kepada syarikat yang dilantik membina dan menyelenggara bangunan asrama, Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB).
Ini katanya pihak Unisel mahu mengadakan proses rundingan dan timbang tara kepada JNSB namun ditolak syarikat berkenaan beberapa kali.
“Kita tidak akan bayar secara terus kerana rundingan perlu dilakukan. Walaupun sebelum ini mereka menuntut RM15 juta, kita sedia runding namun bila kita panggil pihak berkenaan (JNSB), mereka tidak hadir.
“Malah apabila berlaku mendapan di bangunan asrama kita panggil konsultan untuk membuat penilaian dan mendapati kos untuk membaikinya dianggarkan RM60 juta.
“Sedangkan kos untuk membina asrama adalah RM45 juta. Jika mahal sangat lebih baik kita bina baru atau jadikan lokasi sebagai padang bola,” kata beliau ketika ditanya mengenai pilihan terbaik untuk mengatasi masalah tersebut..
Katanya, bangunan asrama yang menempatkan 40 blok itu dibina pada tahun 2002 dan dikesan mengalami kerosakan sejak 2005.
JKR sahkan asrama tidak selamat
Laporan dan kajian Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah pada November dan Disember tahun lalu juga mengesahkan bangunan asrama tersebut tidak selamat diduduki oleh para pelajar.
“Hasil kajian teknikal JKR mendapati keadaan tanah mengalami kerosakan serius dan aktiviti mendapan masih berlaku yang boleh menyebabkan struktur boleh terganggu dan gagal. JKR menasihatkan bangunan berkenaan dikosongkan.
“Jenis kerosakan yang dikesan ialah mendapan tanah dan lantai berdasarkan laporan kedua pada 26 Disember lalu. Kerosakan dikenalpast pada 2005, kategori kerosakan bahaya kerana jenis tanah tambak bekas tapak lombong yang memerlukan rawatan sebelum dibangunkan,” jelas beliau.
i
Dalam pada itu, menerusi tinjauan FMT semalam mendapati pejabat pengurusan asrama JNSB tidak diuruskan dengan protokol pentadbiran sedia ada.
JNSB tidak keluar notis pengosongan
FMT hanya dapat bertemu dengan pekerja penyelenggara asrama sedangkan kerani yang sepatutnya bertugas dilaporkan tidak datang dan ada yang dimaklumkan sudah berhenti.
Menurut pekerja terbabit ia disebabkan kegagalan pihak syarikat membayar gaji selama empat bulan.
“Dah empat bulan kami tak dibayar gaji dik, kakak (pekerja kerani) ada yang bercuti tengah (sedang) cari kerja. Ada yang dah berhenti,” katanya.
Ketika FMT mengajukan soalan mengenai keadaan bangunan asrama, pekerja tersebut sebaliknya memberitahu selamat diduduki
.
Ujar pekerja itu lagi, notis pengosongan asrama juga tidak dikeluarkan oleh JNSB sebaliknya Unisel sehingga timbul banyak kekeliruan kepada para pelajar.
Kira-kira 6,000 pelajar termasuk yang baharu dijangka mendaftar hari ini tetapi penempatan di asrama Bestari Jaya mencecah hingga 3,000.
Pihak Unisel mengambil langkah proaktif dengan menyediakan penempatan sementara di Azalea Court, Bandar Tasik Puteri iaitu bagi pelajar perempuan sahaja, asrama Unisel Kota Puteri, banglow dan semi D Bukit Minyak Bestari Jaya, Taman Ilmu Bestari Jaya dan Mega-Crystal Resort, Kuala Selangor.
Pelajar dikenakan RM200 sebulan termasuk pengangkutan (bas), utiliti (elektrik dan air) dan khidmat keselamatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan