Jumaat, 25 Januari 2013

Pojok: Anak Mami di Perantauan – Aku maafkan kamu

Roketkini.com

 

Tak perlu kita bertemu, Cukup kau tahu
Yang aku, maafkan kamu,
Tolong teruskan hidup
Jangan sebut namaku.


Begitulah lirik lagu yang dinyanyikan secara berduet oleh Jamal Abdillah bersama Malique. Secara mudah difahami bahawa orang yang disalahi tidak ingin bertemu muka dengan orang yang menyalahi, namun memaafkan kesalahan orang itu sambil menyuruhnya pergi jahanam dengan cara yang paling lembut. Sambil jangan memetik nama orang yang disalahi itu lagi.

Ini kelaziman manusia yang mudah tertekan dengan konfrontasi. Meskipun yang didepaninya itu sudah nyata mahu meminta maaf dan mengaku salah. Selalunya kalau kita sudah menyampah dengan orang yang berbuat salah kepada kita, kita maafkan saja silapnya tanpa mahu menatap wajahnya lagi.

Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin telah melanggar kelaziman dan fitrah di atas. Ada sebuah karikatur yang sedang popular di laman Facebook yang memberi analogi paling baik itu tindakan Zohra Jabeen ini. Digambarkan dua manusia sedang hampir bertembung di satu penjuru.

Seorang daripadanya yang kelihatan persis si Zohra Jabeen digambarkan telah memijak kaki insan yang seorang lagi. Sambil berlalu pergi dari situ, karakter yang memijak kaki itu dengan selamba berkata ‘Saya maafkan kamu’. Silakan tepuk dahi sekarang. Kebodohan dan ketidaksedaran diri sedang menular dalam rejim pimpinan United Malays National Organisation.

Zohra Jabeen, setelah menjadi selebriti lantaran video ‘listen’nya itu kelihatan tenang dan tidak berganjak sedikit pun daripada pendiriannya yang satu – bahawa dia saja yang betul –  ketika melakukan sidang media untuk menjelaskan tindakannya di Universiti Utara Malaysia (UUM) bulan lalu. Zohra Jabeen menuduh Bawani, pelajar yang diherdik dan dimalunya itu sebagai ‘pengacau’ yang menyusup masuk ke programnya untuk mencetuskan provokasi.

Manusia spesis ini ialah manusia yang tidak akan segan silu memperagakan ‘sandwich board’ bertulis ‘Saya UMNO, Saya Bodoh dan Saya OK’ sambil berjalan-jalan membeli belah di KLCC. Spesis ini, kalau direbus dalam kawah pun akan tetap bersyahadah atas ketuanan UMNO.

Bukan saja organisasi yang diwakilinya tidak mengaku beraosiasi dengannya. Malah pemimpinnya juga tidak mahu dikaitkan dengan tindak-tanduknya yang memalukan. Barangkali Zohra Jabeen akan ketemu peluang cerah di SPCA atau di mana-mana klinik haiwan untuk mendengar masalah mereka.

Utusan pun serupa

Perbandingan paling rapat dengan sifat Zohra Jabeen ini pastilah lidah rasmi UMNO yang sudah beberapa kali tewas dalam kes saman fitnah di mahkamah. Tetapi Utusan tidak pula ‘memaafkan’ mangsa fitnahnya seperti yang dibuat Zohra Jabeen.

Terbaru Utusan Malaysia tewas lagi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila hakim memutuskan bahawa benarlah akhbar jijik itu memfitnah kononnya Anwar pejuang LGBT. Sebelum itu ia sudah tewas kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang dituduh anti Islam dan anti Melayu.

Demikian juga Utusan Malaysia tewas kepada Nizar Jamaluddin. Khalid Samad dan Karpal Singh. Tetapi Utusan tetap juga tidak serik-serik dan tidak meminta maaf daripada mereka yang menjadi mangsa fitnahnya. Sebijik lah perangai seperti si Zohra Jabeen.

Barangkali Utusan Malaysia sedang dilenjan habis-habisan atas kesedaran bahawa sesudah tumbangnya pentadbiran UMNO di Putrajaya, dia sekali akan ikut jahanam. Kamikaze lah kononnya. Lupa barangkali sang pengarang masih harus membayar ganti rugi kepada sekalian yang difitnahnya.

Tiada maaf bagimu

Andaikan anda sedang memandu di jalan raya dan secara tiba-tiba sebuah kereta melanggar anda daripada belakang. Kemudian pemandu kereta belakang itu keluar dan berkata kepada anda, ‘Tak apa, saya maafkan kamu’.

Ini keadaannya yang mahu diacuankan oleh UMNO ke dalam kepala otak kita semua. Bahawa segala bobrok dan aktiviti merompak harta negara untuk puluhan tahun ini bukanlah salah mereka, malah mereka memaafkan pula kita ini yang terbeban dengan segala jenis bala fiskal akibat daripada kegagalan UMNO untuk mengakui kesalahan dan membuat pembetulan.

Maka meminjam baris daripada filem ‘Ali Setan’: Tiada maaf bagimu UMNO.

Walaupun ya, memang kita tidak mahu lagi mendengar nama UMNO yang sudah demikian lama membuat kita menyampah. Ya, semakin hari harapan menuju Malaysia tanpa UMNO itu semakin jelas menjadi sebuah realiti. Koreklah kubur kau UMNO, koreklah dalam-dalam. Moga kau tidak bangkit menjadi zombie. – Roketkini.com

Tiada ulasan: