Sabtu, 5 Januari 2013

PAS: Hutan musnah di bawah Umno/BN

FREE MALAYSIA TODAY

Mereka bertanggungjawab mengheret Malaysia ke kedudukan ketiga tercorot dunia berbanding 132 buah lain.

 

Oleh Huzir Sulaiman

PETALING JAYA: Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang (LPPAS) mempertikaikan sikap hipokrit Umno/BN dalam aspek pengurusan hutan negara.

LPPAS mendakwa mereka bertanggungjawab mengheret Malaysia ke kedudukan ketiga tercorot dunia berbanding 132 buah lain.

Laporan indeks prestasi alam sekitar dunia itu diterbitkan Universiti Yale Amerika Syarikat baru-baru ini.
“Laporan tersebut juga menggambarkan betapa teruknya prestasi negara selama 1 dekad ini (2002-2012) dalam mengurangkan kesan kepada daya tahan ekosistem dan sumber asli negara”, kata Pengerusi LPPAS, Andansura Rabu.

Beliau juga mendakwa Umno /BN sudah kehabisan modal politik sehingga sanggup menuduh Kedah dan Kelantan, sedangkan pada hakikatnya, merekalah yang sebenarnya gagal dalam menguruskan hutan di negeri yang ditadbir mereka.

“Seperti juga isu air, mereka menghentam Kelantan dan Selangor tetapi pada hakikatnya di Pahang sendiri krisis air masih tak selesai-selesai,” tambahnya  merujuk kepada memorandum krisis air Pahang yang diserahkan wakil PAS Negeri kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob baru-baru ini.

Andansura mendakwa di Pahang sendiri, kita boleh lihat banyak penerokaan hutan yang gagal diuruskan dengan baik contohnya di Hutan Simpan Kemasul (sebelah Felda Kemasul, Kg.Cemomoi Mancis) yang melibatkan 3000 hektar kawasan hutan.

Projek Empangan Kelau melibatkan 1057 hektar Hutan Simpan Lakum, Mukim Hulu Lepar di Kuantan, manakala Hutan Simpan Tekai, Kg. Bantal, dan Kg. Mat Daling yang melibatkan 700 hektar kawasan hutan.

 Tidak ketinggalan juga kawasan pelancongan  di negeri itu khususnya di Mukim Hulu Jelai Cameron Highlands dan di Tasik Chini.

Katanya, bukan sahaja pencemaran kepada alam sekitar akibat penerokaan hutan yang tidak terkawal ini serta kelemahan aspek penanaman semula hutan, kehidupan masyarakat Orang Asli juga terjejas.

Tiada ulasan: