Orang Melayu selalu mendabik dada mengakui merekalah tuan tanah air ini, yang mempunyai beberapa keistimewaan yang tidak boleh dipertikaikan. Kerana itu mereka berpeluang menjayakan diri. Tetapi sayang peluang itu tidak diguna seoptimanya. Orang Melayu tidak pula begitu pandai menggunakan ruang dan peluang ini untuk memajukan diri sampai ke tahap setinggi-tingginya.
Kerana itu orang Melayu selalu bertelingkah, 'berkekah' dan bergaduh sesama sendiri. Jauh sekali untuk membawa persefahaman bersama dalam menuntut hak. Seolah-olah Tuhan memberikan peluang menduduki di bumi ini untuk saling menunjuk ego dan menunjukkan 'qubul" masing-masing. Mahu berlumba dan menunjukkan 'qubul' siapa paling panjang bukan 'berbadi' untuk menunjukkan akal siapa paling panjang dan mempamirkan kebijaksanaan membina diri.
Sepatutnya Tuhan memberi ruang bumi ini bagi orang Melayu berlumba (berbadi) secara baik dan mengambil sikap positif bukan negatif. Menghayati falsafah pertelingkahan, berbahas dan bergaduh akal itu untuk kebaikan bukan sebaliknya. Ada kalanya dalam perjuangan orang Melayu baik menuntut hak tanah air, hak bangsa dan hak agama, tetapi orang lain yang dinafikan ketuanan itu yang lebih mndapat keuntungannya.
Apakah orang Melayu selesa berbuat demikian kerana mereka yakin kepada mitos kata-kata berbunyi; tak akan hilang Melayu di dunia ini?
Mari kita melihat dan menyedari apa-apa yang berlaku di sekeliling kita untuk membuktikan apa yang dikatakan itu. Banyak contoh agenda yang diperjuangan tetapi kerana keadahnya lari dari adat dan hukum agama menyebabkan apa yang diperjuangkan Melayu itu sia-sia saja. Ia menjadi asap yang dibawa hayut oleh angin menuruni lembah gunung kemudian ghaib di permkaan lautan.
Contoh terbaru ialah mengenai kalimah Allah. Sekali pandangan semua orang Melayu sedang memperjuangkan untuk menjaga kesucian nama zat Allah itu demi mendaulatkan Islam. Itulah yang hendak ditonjolkan. Kemabukan Melayu memperjuangkannya seolah-olah orang Melayu rela bermandi darah mengenainya. Itu yang kita tampak. Tetapi natijah perjuangannya ia sia-sia dan membuang masa saja.
Orang Melayu dengan rupa diri masing-masing bangun mempertahankan kalimah Allah. Di satu pihak tidak mahu kalimah Allah itu digunakan oleh orang Kristian kononnya ia boleh mengelirukan umat Islam kemudian boleh menyebabkan Melayu akan menjadi Kristian. Melayu jenis ini nampak akan gejala dan bahaya serta strategi di sebalik perubahan penggunaan God kepada Allah itu. Tetapi di masa lain pula mereka yang membuka masuk segala gejala itu. Yang melonggarkan ikatan agama. Inilah menjadikan orang skeptikal kepadanya.
Melayu jenis ini hanya nampak bahagian ranting tetapi tidak nampak bahagian dahan dan batang. Bahkan akar tunjang Islam itu sendiri dibongkahnya. Melayu seperti inilah yang tidak sedar kakinya tersadung najis tetapi ia cuba memakai sepatu kulit berjenama.
Satu pihak lagi bersikap terbuka membenarkan Kristian menggunakan kalimah berkenaan. Pihak ini tidak sedikitpun bimbang dengan kemungkinan dinyata oleh pihak satu lagi. Alasan golongan ini perkataan Allah tidak mutlak untuk Islam. Prinsip kemanusiaan dan kesegatan agama diguna pakai. Kononnya kebenaran penggunaan kalimah itu membuka ruang dakwah kepada Kristian. Aduhlah sayang...
Kalau merka dapat menyelami kenapa Kristian beriya-iya mahu menggunakan perkataan itu, nescaya tidak akan tergamak untuk puak ini berpandangan postif begitu. Sesuatu yang perlu disedari bahaya tektik dan uslub dakwah Kristian ternyata lebih canggih dan halus dari pendakwah Islam sendiri.
Buktinya bilangan orang Islam (Melayu) yang memeluk Kristian lebih banyak berbanding dengan orang penganut Kristian yang memeluk Islam. Kalau figure yang dikeluarkan oleh seorang mufti boleh dipakai, menyebabkan kita akan menangsi dan silap-silap akan membunuh diri. Katanya 250,000 berlaku kes murtad di negara ini dimana jumlah besarnya tentulah Melayu.
Justeru kepada saya kedua perjuangan kedua-dua pihak berhubung kalimah Allah itu sebagai menegak benang basah saja. Ia hanya perjuangan bermusim yang berbentuk sandiwara. Mereka berjuang bukan atas kebenaran membela dan mendaulatkan Islam tetapi membela kerana ada kepentingan politik masing-masing. Dalam kata lain mereka menjadikan isu kalimah Allah sebagai modal politik.
Pihak sebelah sini mengambil isu kalimah Allah itu bagi mempengaruhi orang Melayu agar menyokong mereka. Mereka mahu menunjukkan kepada dunia merekalah mujahid Islam sengoti. Merekalah yang menjadi hero membela Islam walaupun mereka juga merupakan orang yang kufur kepada hukum dan perintah asas Allah. Merekalah pewaris ulama sebenarnya.
Manakala pihak di sebelah sini pula merelakan kalimah itu digunakan dengan memberi berbagai pengertian dan dalih di sebalik kebenaran itu, juga mahukan sokongan politik. Mereka berharap orang bukan Islam terutamanya Islam akan melihat perjuangan mereka lebih liberal, toleran berasaskan hakikat kewujudan manusia atas fitrah masing-masing tidak menganggu agenda dan machinery agama mereka. Apabila mereka selesa dengan kebenaran itu, undi bukan Islam akan berpihak kepada mereka. Kristianj akan memberi sokongan moral kepada mereka.
Seharusnya, kalimah Allah tidak patut digunakan sebagai isu dan modal politik mentah seperti isu-isu lain seperti ekonomi, pendidikan dan budaya. Isu yang berkaitan agama harus diselesaikan penuh beradab, berilmu dan bijaksana bak kata orang umpama menarik rambut di dalam tepung.
Saya melihat dalam isu kalimah Allah menyerlahkan kebodohan besar orang Melayu dan juga kehuruharaan siasah orang Melayu. Perkara itu menatijahkan kerugian besar kepada orang Melayu semuanya. Kenapa saya kata bodoh, kerana isu ini yang mendapat untung dan labanya orang Kristian. Mereka bergembira dengan polemik isu ini kerana tanpa perlu membuang masa dan tenaga ada pihak yang membela mereka.
Hari ini orang Kristian walaupun tidak bertepuk tangan tetapi mereka sangat suka ia didebatkan dan dipolemikkan. Isu ini berjaya menjadikan pemuka Islam bertegang leher sesama sendiri. Suasana inilah yang mereka ingin diketahui oleh umum terutamanya pengikut dan pendokong mereka, bahawa tidak sistemetiknya umat Islam dalam menyelesaikan sesuatu isu yang berlaku di sekeliling mereka.
Lantaran itu mereka (Kristian) hanya berdoa semoga pihak yang membela mereka akan menang. Dalam pada itu pihak yang menentang mereka akan kalah, kemudian menjadikan pertetangan kedua pihak itu berterusan dan mudahlah mereka mengambil kesempatan. Strategi inilah saya rasa tidak diperhati dan disedari oleh orang Melayu. Mereka tidak sedar mereka bergaduh dan bercekah di mana kesempatannya diambil oleh orang lain.
Melihat kepada Melayu mendebat isu kalimah Allah ini dan melihat di mana kedudukan Kristian saya ibaratkan bagaimana harimau dan singa yang bertarung mengejar mangsa di hutan belantara menunjukkan kegagahan dan kehebatan masing-masing, menunjukkan ketajaman kuku dan keruncingan taring masing-masing tetapi akhirnya semua itu sia-sia saja.
Dengan kehebatan itu mereka akhirnya berjaya menangkap mangsa. Malangnya baru mereka hendak menikmati mangsa itu, mereka tidak sedar bahawa di atas kepala mereka, nun di langit sudah lama berterbangan si burung hering, (burung botak) pemakan daging yang mengikut pertarungan kedua haiwan hebat itu. Mereka memerhati dari jauh dengan penuh prihatian.
Manakala sebaik saja harimau dan singa sudah berjaya menerkam mangsa dan baru hendak memakannya tiba-tiba burung hering akan menyewah turun. Mereka ramai-ramai mengelilingi singa dan harimau yang sudah penat bertarung itu. Si hering ini akan membuat tektik dengan mengacau dan mengacah-acah terhadap harimau dan singa itu. Akhirnya kerana tidak tahan, apa lagi kepenatan kerana bertarung mengejar mangsa keduanya beredar meninggalkan mangsa tanpa sempat menyentuhnya.
Nah, saat ini burung hering yang cerdik, yang tidak menggunakan sedikit tenaga untuk mengejar mangsa itu akan melahap sampai habis mangsa ditangkap singa dan harimau itu tanpa meninggalkan sisa belulang atau tulang. Yang kenyang ialah hering yang terus kelaparan walaupun menang bertarung ialah sang singa dan harimau yang 'budak' itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan