Selasa, 22 Januari 2013

Mohamad Sabu: Tiada pergeseran antara PAS dan PKR

 
Menurut Timbalan Presiden PAS itu dakwaan PAS enggan menerima Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri jika Pakatan menang pada pilihan raya umum ke- 13 sengaja ditimbulkan.



PETALING JAYA: PAS menafikan dakwaan kononnya wujud pergeseran antara PAS dan PKR ekoran tindakan ramai ahlinya keluar daripada ‘Himpunan Kebangkitan Rakyat’ di Stadium Merdeka pada 12 Januari lalu ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan ucapan.

Menurut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dakwaan bahawa PAS enggan menerima Ketua Pembangkang itu sebagai Perdana Menteri jika Pakatan menang pada pilihan raya umum ke- 13 sengaja ditimbulkan.

Tegas beliau orang ramai khususnya ahli PAS setia menunggu sehingga himpunan tersebut selesai.

“Dakwaan bahawa (ahli PAS) keluar adalah tidak benar.Lebih-lebih lagi ketika beliau (Anwar) memberikan ucapan. Saya tidak pasti bagaimana mereka mendakwa seperti itu.

“Saya lihat sendiri mereka tunggu sehingga habis ucapan semua pemimpin di dalam stadium tempoh hari. Malah jika alasannya kerana Anwar jadi PM sehingga timbulkan implikasi ahli-ahli sehingga mereka keluar ketika ucapannya itu tidak benar. PAS terima Anwar sebagai PM,” tegas beliau.

Beliau yang juga Pengerusi #HKR112 berkata,  PAS kekal dengan persetujuan yang dibuat dalam Pakatan Rakyat, bahawa Anwar akan menjadi Perdana Menteri jika gabungan itu menang dalam pilihan raya umum nanti.

Dilaporkan hari ini Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi mahu PAS mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung tindakan ramai ahlinya keluar daripada himpunan tersebut ketika Anwar memulakan ucapan.

Timbalan Menteri Pelajaran mendakwa berlaku pergeseran antara PAS-PKR selepas enggan menerima Ketua Pembangkang sebagai bakal Perdana Menteri sekiranya Pakatan menang pilihan raya umum kelak.

Sambil merujuk kepada siaran akhbar The Straits Times Singapura sebelum ini, didapati gambar berkenaan diambil dari sudut belakang yang memaparkan stadium berkenaan kosong ditinggalkan peserta.

Ketika Muktamar PAS tahun lalu pimpinan PAS di beberapa negeri memilih Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai calon paling layak menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan bukannya Anwar.

Isu tersebut menjadi buah mulut antara parti gabungan dalam Pakatan walaupun DAP sebelum ini turut memilih Anwar sebagai Perdana Menteri.

Turut baca:

PAS dan DAP jangan menyusahkan sesama sendiri

Tiada ulasan: