Sabtu, 12 Januari 2013

Koay Teng Hai digantung keahlian parti 6 bulan

Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Disiplin Kebangsaan DAP membuat keputusan menggantung keahlian parti ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tikus, Koay Teng Hai  selama enam bulan berkuatkuasa mulai hari ini kerana tidak akur kepada arahan parti supaya menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 1 November tahun lalu.



Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tan Kok Wai, berkata ADUN Pulau Tikus itu dikenakan tindakan itu kerana gagal mematuhi arahan parti supaya menghadiri Persidangan DUN Pulau Pinang untuk menyokong Pindaan Perlembagaan Negeri bagi meluluskan Undang-undang Anti Lompat Parti yang memerlukan sekurang-kurangnya 27 undi.

“Parti sudah memaklumkan kepada Koay mengenai perkara itu tetapi ketika itu beliau berada di luar negara.

“Koay sendiri juga sudah maklum mengenai tindakan bakal dikenakan sekiranya beliau tidak menghadiri Persidangan DUN Pulau Pinang itu,” jelas Ahli Parlimen Cheras itu.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, M Kulasegaran pula berkata, Koay sepatutnya lebih mementingkan arahan parti supaya menghadiri persidangan itu demi kepentingan parti.

“Walaupun Koay digantung keahlian selama enam bulan mulai hari ini tetapi beliau masih berpeluang membuat rayuan kepada parti,” ujar Ahli Parlimen Ipoh Barat itu.

Ditanya samada tindakan ke atas Koay itu wajar terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-13, Kulasegaran berkata, ini adalah bukti DAP sebuah parti yang tegas dan berprinsip serta tindakan itu tidak menjejaskan kestabilan parti.

“DAP bukan sewenang-wenangnya membuat keputusan itu, sebaliknya mempunyai sebab demi kepentingan parti dan rakyat,” kata beliau.-Roketkini.com

Tiada ulasan: