Oleh Tarmizi Bin Anuwar
Lebih seratus tahun dahulu isu keperluan pendidikan tinggi telah dibincangkan oleh ilmuan di Malaysia yang ketika itu masih lagi dikenali sebagai Tanah Melayu. Mesyuarat Majlis Raja-raja pada tahun 1903 pernah membincangkan kepentingan ilmu ditanam menjadi darah daging anak bangsa
Pada tahun 1917, Za’ba telah membangkitkan isu ini dalam akhbar Lembaga Melayu. Begitu juga seorang tokoh pendidik tanah air, A. Kadir Adabi yang telah menyerahkan memorandum kepada DYMM Sultan Kelantan pada tahun 1923. Semua ini adalah usaha untuk membina sebuah masyarakat yang berilmu dan memberikan sumbangan kepada tanah air tercinta.
Setengah abad selepas semboyan perjuangan pendidikan tinggi dibunyikan, sinar keilmuan menjadi pasakan dalam jiwa sanubari masyarakat seakan semakin mampu dimahkotai. Empat tahun selepas kemerdekaan yang dilaungkan oleh Tunku Abdul Rahman iaitu pada tahun 1961, institusi pendidikan tinggi negara yang pertama di Malaysia (masih Tanah Melayu ketika itu) telah berjaya ditubuhkan.
Universiti Malaya (1961), Universiti Sains Malaysia (1969), Kolej Tunku Abdul Rahman (1969) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (1970) adalah merupakan antara institusi pendidikan tinggi negara yang terawal berjaya ditubuhkan.
Dengan tertubuhnya institusi pendidikan tinggi negara maka diharapkan akan lahirlah individu-individu yang mampu membentuk sebuah masyarakat yang bertunjangkan ilmu pengetahuan. Namun, setelah mencapai usia 52 tahun, institusi pendidikan tinggi negara tampaknya kurang subur dalam melahirkan ilmuan yang berani menyuarakan pandangan supaya mampu mengubah paradigma masyarakat ke arah bertunjangkan ilmu pengetahuan. Sebaliknya kejayaan yang paling besar adalah melahirkan ilmuan dan masyarakat yang takutkan perubahan, taat membabi-buta, bersifat perkauman yang tinggi, dan kehakisan sifat mencintai ilmu.
Penulis cuba menggunakan susunan ayat yang sesuai dengan golongan akedamik supaya diri ini tidak terlebih bicara dan terkasar bahasa. Niat di hati; yang tua dihormati kerana kematangannya dalam berfikir menegakkan kebenaran dan yang muda disayangi kerana keikhlasannya dalam berjuang membenamkan kebatilan. Penulis cuba memberi tasawwur (gambaran) secara jelas terhadap fenomena kelesuan golongan ini. Hakikat fenomena kelesuan yang melanda akedamia perlu diambil serius kerana golongan inilah yang bertindak sebagai pendidik, guru dan idola kepada mahasiswa dan anak muda di sesebuah negara sewajarnya. Artikel ini memfokuskan kepada sosok tubuh yang bergelar pensyarah di institusi pengajian tinggi dalam negara supaya penerangan dan penjelasan dapat dilakukan dengan lebih ilmiah dan jelas serta tidak tersimpang daripada landasan ilmu.
Prof Aziz Bari berkata, “Mereka yang pergi ke Amsterdam atau Geneva untuk dianugerahkan pingat emas, menginap di hotel lima bintang. Selepas itu, mereka pergi ke Kementerian Pengajian Tinggi untuk mendapatkan lanjutan (kontrak mereka) untuk menjadi naib canselor atau timbalan naib canselor. Ini yang berlaku”. Situasi yang sama berlaku dalam kalangan akedamia yang berjawatan kontrak sebagai pengetua kolej kediaman. Saling berlumba-lumba untuk mengipas timbalan naib canselor universiti supaya dikekalkan jawatan yang disandang. Autoriti yang pada asalnya dicipta untuk membimbing mahasiswa supaya terkehadapan dalam hal-hal kemasyarakatan kini tidak lagi digunakan sebaik mungkin sebaliknya digunakan untuk membawa kroni-kroni bersatu di bawah bumbung kolej.
Memberikan projek kepada saudara mara terdekat dan mendahulukan pembayaran saudara mara berbanding projek yang telah diselesaikan sebelumnya adalah sesuatu perbuatan yang tidak berintegriti. Sanggup mendengar arahan timbalan naib canselor supaya membuang pelajar yang menunjukkan pendirian yang berbeza dengan pihak universiti daripada kolej kediaman demi menjaga kepentingan jawatan sungguh memalukan. Integriti seorang akedamia telah menjadi buah mulut mahasiswa, adakah mereka mampu menjadi contoh kepada mahasiswa dan anak muda walaupun mempunyai kelulusan ijazah falsafah kedoktoran undang-undang sekalipun? Isu yang dibangkitkan oleh penulis adalah isu dalaman dan merupakan realiti tingkahtanduk segelintir akedamia negara ini.
Seorang kakitangan kerajaan dilarang untuk melakukan kerja sambilan atau perniagaan persendirian dalam waktu bekerja. Hari ini terdapat akedamia yang terlalu inginkan kekayaan sehingga mereka sanggup menggunakan waktu bekerja untuk urusan perniagaan persendirian yang sepatutnya mereka penuhi dengan penyelidikan dan tugasan rasmi sebagai pensyarah. Ketika mahasiswa ingin membuat temujanji dengannya maka beliau berjanji untuk berjumpa tetapi tiba pada waktu temujanji rupanya beliau tiada dan minta tunda pada waktu lain atas dasar ada urusan di luar. Sedangkan keutamaan ketika itu adalah tugasan rasminya bukan berjumpa Dato’ atau Tan Sri untuk mendapatkan projek. Apabila mahasiswa itu gagal melaksanakan tugasan dengan baik maka dikatakan mahasiswa itu pemalas dan sebagainya. Walhal, akedamia itu sendiri sibuk dengan urusan perniagaannya.
Pendoktrinisasian terhadap mahasiswa yang mengatakan perlu bersyukur dengan apa yang kerajaan telah sediakan tanpa membincangkan konteks hak mahasiswa dan rakyat dengan lebih meluas dan terperinci adalah salah satu pembunuhan kosmologi pemikiran mahasiswa. Penulis ketika menuntut di peringkat ijazah pertama dan pernah menjadi timbalan presiden kolej kediaman selalu disuapkan dengan kata-kata “Jangan menggigit jari tangan yang menyuap kita makan”. Penulis yang juga merupakan pemegang Biasiswa Kementerian Belia dan Sukan ketika itu pernah dinasihatkan supaya jangan melawan kerajaan kerana anda adalah anak kerajaan yang bermaksud dibiayai oleh kerajaan. Kosmologi pemikiran akedamia seperti ini telah membuatkan mahasiswa takut untuk menyuarakan suara mereka. Mahasiswa tidak mampu mencari akedamia yang boleh dijadikan contoh untuk terkehadapan dalam isu kemanusiaan yang melibatkan pentadbiran negara.
Penulis dengan rendah diri mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada beberapa akedamia yang desawarsa ini; Prof. Madya Dr. Asri , Dr. Maslee Maleek, Prof. Madya Dr. Abu Hassan, Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor, Prof. Madya Dr. Mat Rofa Ismail, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman, dan beberapa lagi yang sudah berani membicarakan soal kosmologi pemikiran mahasiswa secara terbuka dan ilmiah. Sedikit sebanyak hujah-hujah mereka yang bertaraf ‘Dr’ ini boleh dijadikan senjata buat mahasiswa untuk bangkit memperjuangkan kebebasan akedamik. Walaupun begitu, penulis mendapati bilangan akedamia yang mahu berjuang bersama rakyat ini perlu berkembang, tidak boleh statik dan selesa dengan jumlah yang sedia ada. Mahasiswa memerlukan sokongan moral yang lebih kuat daripada golongan akedamia bukan bermakna tidak mahu berusaha sendiri tetapi ini adalah tanggungjawab bersama dalam membentuk sebuah tamadun yang masyarakatnya cintakan ilmu dan bersih daripada anasir-anasir korupsi.
Kehebatan sesebuah tamadun diukur berdasarkan buku-buku (ilmu) hasil karangan ilmuwan dalam tamadun tersebut. Kosmologi pemikiran ilmuwan dalam tamadun itu akan membentuk masyarakat ke arah pembaharuan dari segi kosmologi pemikiran itu sendiri dan membentuk tingkahlaku ke arah yang lebih baik. Mahasiswa hari ini memerlukan akedamia yang mahu membawa negara kepada perubahan ke arah yang lebih baik, bukan akedamia yang sibuk hendak membuat jurnal berwasit supaya boleh mendapat jawatan pengetua kolej, ketua jabatan, timbalan naib canselor, naib canselor, Profesor Madya, Profesor, atau Profesor Emeritus. Berdasarkan jawatan yang diperolehi maka akedamia boleh mendapatkan wang yang banyak apabila dipanggil memberikan ceramah tentang ilmu yang ada pada dirinya tetapi sebaliknya akedamia itulah yang perlu berkorban dengan menyumbangkan tenaga dan ilmunya tanpa mengharapkan pangkat, wang atau balasan oleh masyarakat atau rakyat. Menjadi akedamia ini hidupnya adalah untuk masyarakat bukan kepentingan peribadi, maka berbaktilah kepada masyarakat.
Penulis mengunjurkan kepada diri sendiri dan golongan akedamia supaya membebaskan diri daripada belenggu rantaian kelesuan yang menjaga periuk nasi sendiri tetapi membiarkan masyarakat dalam negara ini mengalami kemarau yang membutuhkan ilmu. Suatu masa dahulu penulis dimomokkan dengan istilah mahasiswa lesu, hari ini secara jujurnya prestasi akedamia dalam bidang kemanusiaan dan kemasyarakatan masih diperingkat memerlukan rawatan segera kerana tidak ramai yang berani tampil ke hadapan bersuara memberikan pandangan tentang isu-isu semasa. Penulis yakin setiap manusia itu mempunyai tahap keupayaannya yang tersendiri tetapi penulis tinggalkan satu persoalan kepada sosok tubuh bergelar akedamia, bertanya kepada diri sendiri di mana sumbangan anda terhadap masyarakat? Semoga dengan persoalan itu mampu mengubah negara Malaysia menjadi negara yang lebih baik dan kosmologi pemikiran rakyatnya mampu mencipta sebuah tamadun yang hebat.
Tarmizi Bin Anuwar,
Pelajar Peringkat Sarjana dalam bidang Master Sains Falsafah Matematik dan Etnomatematik,
Institut Penyelidikan Matematik,
Universiti Putra Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan