Jumaat, 11 Januari 2013

Isu Mat Yo: Annuar Musa terkilan, minta semua bertenang

Wartawan Sinar Harian

Annuar-Musa
Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa
 
SHAH ALAM - Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berharap semua pihak bertenang dan menerima keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung isu bayaran penebusan kontrak Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo, yang berhijrah ke pasukan Johor Darul Takzim FC musim ini, tanpa prejudis.

"Saya harap semua bertenang dan bersabar... kita terima dulu keputusan tanpa prejudis kepada segala hak dan peraturan.

"Kita teliti dengan tenang satu persatu," kata beliau yang kelihatan agak kecewa dan terkilan dengan perkembangan terbaru.

Beliau melahirkan pendiriannya dalam laman sosial Facebook semalam, beberapa jam selepas FAM mengumumkan keputusannya.

Annuar seterusnya menulis, "buat masa ini dah diputuskan boleh curi pemain yang ada kontrak, boeh runding belakang kelab."

Annuar yang sebelum ini berkata Mat Yo perlu membayar sehingga RM1 juta sebagai ganti rugi kerana berpindah ke Johor berkata, keputusan terbaru ini menunjukkan pihak terbabit tidak perlu menjelaskan bayaran perpindahan dan tidak perlu risau mengenai Surat Pelepasan Negeri (SPN).

"Tak perlu bayar (fi) perpindahan.... tak perlu risah SPN... cara mudah dan murah tamatkan saja secara sebelah pihak... tebus saja kontrak dengan baki nilai gaji.

"Pemain nombor satu negara hanya bernilai tidak sampai dua bulan gaji pemain import, kita terimalah kerana ini yang telah diputuskan... apa-apa yang selanjutnya, tunggu tayangan akan datang... auuuum!! filem hitam putih Harimau kurus!!!" kata Timbalan Presiden FAM ini, yang kini menjalani hukuman digantung selama 30 bulan.

Berdasarkan laporan media semalam, isu bayaran penebusan kontrak bekas penyerang Kelantan itu yang berhijrah ke pasukan Johor Darul Takzim FC musim ini, telah selesai sejak 20 November lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ini berikutan pemain berusia 26 tahun itu telah pun menjelaskan bayaran penebusan kontrak itu seperti yang dituntut Kafa.

Beliau berkata berdasarkan rekod FAM, Norshahrul telah dua kali melunaskan bayaran penebusan kontrak kepada Kafa berjumlah RM299,000 menerusi bank draf.

"Bayaran pertama sebanyak RM250,000 diberikan kepada KAFA pada 4 Januari 2013 dan bayaran kedua RM49,000 sehari kemudian. Kami mendapat salinan bayaran ini daripada peguam yang mewakili Mat Yo," katanya.

Annuar dikatakan menuntut RM1 juta daripada 'Pemain Paling Bernilai' Liga Malaysia 2012 itu bagi menyelesaikan isu perpindahan Mat Yo ke pasukan Harimau Selatan.

Bayaran berkenaan antaranya meliputi penamatan kontrak 13 bulan lebih awal dengan jumlah melebihi RM300,000, pinjaman mudah diberikan Kafa kepada Mat Yo serta kerugian akibat penarikan diri penajaan pasukan.

Takiyuddin berkata. Kafa tidak mempunyai hak menuntut

bayaran perpindahan kerana berdasarkan peraturan FAM, seseorang pemain yang menamatkan kontrak sebelah pihak hanya perlu menjelaskan bayaran penebusan kontrak.

"Kafa hanya berhak menuntut bayaran penebusan kontrak selama 13 bulan dan kami tidak membenarkan Kafa menuntut bayaran perpindahan kerana ia bukan melibatkan perpindahan tetapi lebih kepada penamatan kontrak.

"Kami juga tidak akan mengiktiraf sekiranya wujud perjanjian lain antara bekas pemain dengan majikannya tanpa merujuk kepada FAM seperti dalam kes Mat Yo kerana ia di luar bidang kuasa kami," katanya.

Tiada ulasan: