Sabtu, 19 Januari 2013

Harun Taib: Saya tidak akan tinggalkan Pas

Wartawan Sinar Harian

Harun Taib: Saya tidak akan tinggalkan Pas
Tajuk muka depan Sinar Harian edisi Terengganu hari ini.
 
KUALA TERENGGANU – "Saya tidak akan tinggalkan Pas. Tidak ada sebab untuk saya tinggalkan parti ini!"

Demikian tegas Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib ketika menafikan dakwaan dalam sebuah blog bahawa beliau dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din akan meninggalkan Pas.

Beliau berkata, dakwaan itu sama sekali tidak benar kerana Pas adalah platform beliau untuk memperjuangkan agama Islam sejak dulu lagi.

“Mana boleh tinggal Pas. Pas perjuangan saya, wadah perjuangan saya," kata Adun manir itu.

Artikel yang diterbitkan 10 Januari lalu dalam blog terbabit menyebut, kedua-dua pemimpin Pas itu akan mengumumkan tindakan keluar parti sedikit masa lagi kerana membantah sokongan Pas terhadap permintaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng agar Bible berbahasa Melayu dibenarkan menggantikan perkataan tuhan kepada ALLAH.

Memetik blog terbabit, Haron Din dilaporkan telah bercakap kepada beberapa orang rakan rapat beliau, bahawa beliau secara serius mempertimbangkan untuk keluar dari Pas dan menumpukan sepenuhnya kerja-kerja dakwah beliau.

Sementara Harun Taib telah dinasihatkan rakan-rakan rapat beliau agar kekal dalam Pas, walaupun tidak sependapat dengan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mereka juga berharap Harun Taib harus kekal dalam Pas bagi mengimbangi sokongan ahli Pas yang masih mempercayai perjuangan menegakkan Islam parti tersebut.

Artikel bertajuk ‘Dua Harun bakal tinggalkan Pas?’ itu dipercayai diterbitkan semasa kontroversi isu kalimah ALLAH, sebelum ia diputuskan Majlis Syura Pas yang tidak membenarkan perkataan ALLAH digunakan dalam kitab Injil pada 13 Januari lepas dan mendapat lebih 150 komen daripada pelawat blog.

Mengulas isu kalimah ALLAH, Harun berkata, kenyataan yang dibuat beliau sebelum keputusan Majlis Syura dikeluarkan langsung tidak bercanggah dengan pendirian Abdul Hadi dan juga Nik Aziz.

Tiada ulasan: