Oleh Muhammad Nazreen
Pasar malam adalah contoh persaingan ekonomi yang sihat, dengan peluang yang saksama. Memang, ada yang mendapat untung yang lebih dan mengalami kerugian kerana produk yang mereka tawarkan bukanlah pilihan kebanyakan para pengguna. Ini lumrah berniaga. Pasti ada pasang surutnya.
Cuma, soal peluang yang sama rata ditekankan para peniaga. Sekurang-kurangnya, mereka sebagai peniaga lebih senang untuk menerokai peluang-peluang baru tanpa dikawal oleh ‘elit’ peniaga yang lain.
Cerita pasar malam
Saya kira, pasar malam menjanjikan keseronokan yang tersendiri. Pengalaman saya, pasar malamlah yang menjadi tempat untuk membeli pelbagai jenis juadah makanan, dengan keasyikan dan kesedapan yang pelbagai. Ibu-bapa saya juga memilih untuk membeli ‘barang basah’ dan ‘kering’ sebagai kegunaan di dapur. Bagi mereka, di sana, mereka menerima peluang untuk tawar-menawar dengan alternatif yang banyak.
Kos untuk membeli barang dapur juga lebih murah, kerana harga dan kualiti yang menentukan murah atau mahalnya sesuatu barang dapur. Dari satu sudut yang lain, koleksi permainan seperti ‘patung askar’ dan ‘pistol air’ tetap menjadi kesukaan saya semasa kecil. Saya bolehkan mendapatkannya dengan harga-harga yang lebih murah berbanding di pasaraya kerana di sana, sudah pasti harganya jauh lebih mahal dan tetap.
Jadi, itu cerita pasar malam. Sekarang, cuba kita tukarkan konsep ‘pasar malam’ ini sebagai kerajaan dan rakyat.
Cerita kerajaan dan pasar malam
Bagaimana pula sekiranya ‘kerajaan’ adalah penyewa tapak, ‘pasar malam’ sebagai medan awam dan ‘peniaga’ sebagai rakyat? Tentu sekali, dalam bayangan awal kita mendapati ianya tidak masuk akal.
Bahkan, mungkin ada komen yang mengatakan bahawa menyamakan ‘kerajaan’ dan ‘pasar malam’ tentu sekali tidak masuk akal kerana dua hal:
Pertama – peranan kerajaan adalah sulit kerana mereka menyelia seluruh negara, manakala pasar malam hanyalah pusat kegiatan ekonomi yang kecil dan mudah. Kedua – kerajaan bertanggungjawab mengelola segala jenis isu yang membabitkan hal-hal keseharian kita, tetapi pasar malam hanya meliputi kegiatan perniagaan runcit-runcitan.
Namun, jika kita benar-benar mengamati falsafah sistem kerajaan itu, sebenarnya ia tidak banyak beza dengan konsep pasar malam. Cuma, subjeknya sahaja yang berbeza.
Menjelaskan cerita
Baiklah, saya akan cuba jelaskan dengan mudah bagaimana konsep kerajaan dapat disamakan dengan pasar malam.
Pertama, seperti anekdot yang saya pinjamkan tadi – ‘kerajaan’ adalah ‘penyewa tapak’. Jadi, sebagai penyewa tapak yang berprinsip, mereka pasti akan tetapkan peraturan untuk’ para peniaga’(rakyat) dengan adil dan saksama. Setiap peniaga perlu diberikan kos sewa tapak yang sama, waktu perniagaan yang sama dan tanggungjawab untuk membersihkan tapak yang sama peraturannya.
Di sini, kita dapat memahami sebenarnya di dalam projek pembangunan yang ditawarkan kerajaan, misalnya di dalam tender untuk membangunkan MRT, pusat pembiakan lembu dan pembelian kapal selam secara saksama kepada ahli perniagaan yang lain.
Jadi, pemilihan untuk memiliki tender-tender terbabit haruslah disandarkan berdasarkan kemampuan ahli perniagaan dari segi modal, cadangan dan kepakaran masing-masing. Kerajaan perlu memilih mereka berdasarkan kriteria ini secara saksama. Siapa lebih baik, maka mereka akan dipilih.
Kedua, konsep pasar malam dari bahasa ekonominya, akan mencipta ‘multiplier effect’ atau kesan langsung daripada tindakan yang dilakukan. Misalnya, pasar malam yang memberikan persaingan yang baik, pasti akan menarik minat para pengguna untuk mengunjungi pasar malam mereka kerana di sana mereka boleh mendapatkan barangan atau juadah yang lebih baik. Seterusnya, mereka dapat membantu untuk menjana pendapatan para peniaga di pasar malam.
Cerita demokrasi ekonomi DAP
Jadi, pendapatan mereka meningkat atas usaha persaingan para peniaga memperbaiki produk yang mereka tawarkan.
Begitu juga dengan kerajaan, sekiranya kerajaan mempunyai etika di dalam memilih kontraktor yang dipertanggungjawab untuk mendapat tender mega-projek kerajaan yang memakan belanja berjuta-juta ringgit, sudah tentu pelabur-pelabur yang sudi melabur di dalam projek terbabit akan bertambah seterusnya menambahkan kemampuan kontraktor tersebut mengupah lebih ramai pekerja untuk menyiapkan projek terbabit.
Inilah yang dimaksudkan dengan demokrasi ekonomi, dimana kerajaan sebagai kuasa pusat memberikan peluang yang saksama kepada pakar-pakar untuk menjayakan pelaburan kerajaan. Dengan adanya demokrasi ekonomi, ekonomi kita pasti akan menjangkaui pertumbuhan yang lebih baik.
Tawaran DAP untuk menawarkan demokrasi ekonomi di mana dalam manifesto pilihanraya mereka untuk menyediakan peluang yang saksama ketika mentadbir negara, dirundum dengan pelbagai kritik-kritik pakar ekonomi Barisan Nasional yang mengatakan hal ini mustahil, hanya propaganda parti pembangkang yang lunas di atas janji-janji kertas tetapi tidak realistik untuk dilaksanakan ternyata bersifat berat sebelah dan retorik.
Saya kira, mereka lupa bahawa konsep asas ekonomi adalah seperti ‘pasar malam’ yang mesra kepada pengguna dan pada masa yang sama, memuaskan para peniaga kerana mereka diberikan peluang yang adil oleh penyewa tapak (baca: kerajaan). Asas kepada demokrasi ekonomi yang sebenar adalah prinsip cekap, akauntabel dan telus (C.A.T) di dalam menyelia kehendak rakyat.
Cerita kejayaan di Pulau Pinang
Contoh di Pulau Pinang, setelah DAP yang memimpin kerajaan negeri, saya dapat melihat banyak perubahan ekonomi yang lebih baik. Peruntukan semakin hari semakin bertambah, kegiatan ekonomi runcitan seperti kedai-kedai kecil dan restoran berkadar sederhana dapat menjana pertumbuhan ekonomi bumiputera dan bukan bumiputera.
Seterusnya, pelaburan langsung yang masuk daripada pelabur-pelabur luar meningkat kerana usaha-usaha kerajaan Pakatan Pulau Pinang dapat meyakinkan mereka dengan pelaburan yang sihat.
Kejayaan-kejayaan ini yang membuatkan saya komited dengan perubahan yang dijanjikan untuk membersihkan dosa-dosa ekonomi kala ini setelah berjaya memimpin Malaysia kelak.
Akhirul kalam, cuba kita berfikir sejenak : Adakah ‘pasar malam’ yang kita ada setakat ini memuaskan atau kita berhak untuk mendapat ‘pasar malam’ yang lebih baik? – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan