Rabu, 9 Januari 2013

Bukan Islam tolak titah Sultan

KL TODAY

 

Kumpulan yang memayungi gereja Protestan Malaysia mengatakan hari ini Kristian di seluruh negara memanggil tuhan mereka dengan gelaran “Allah” dalam amalan mereka sejak berabad-abad lalu dan akan meneruskan hak perlembagaan mereka untuk berbuat demikian, walau apa pun titah Sultan Selangor terhadap bukan Islam.

Ketua-ketua gereja Majlis Gereja Malaysia (CCM) berkata mereka mengikuti wacana semasa penggunaan perkataan “Allah” oleh orang bukan Islam.

Para pemimpin gereja yang bermesyuarat di Ipoh, mengulangi bahawa mereka telah menggunakan “Allah” dalam Alkitab bahasa Melayu “sejak berabad-abad” dan komuniti orang asli di sini telah menjadikan perkataan yang berasal daripada bahasa Arab itu sebagai sebahagian daripada bahasa harian mereka.

“Jika begitu kesnya, kami akan meneruskan amalan ini — hak yang dijamin kepada kami dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 11) dan menyeru semua pihak untuk menghormati hak asasi ini,” kata mereka dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

Kenyataan pemimpin gereja CCM hampir serupa dengan badan yang memayungi semua kuil Sikh di negara ini semalam.

Majlis Gurdwara Malaysia (MGC) menambah sebarang langkah untuk menghalang orang bukan Islam menggunakan perkataan “Allah” dalam teks agama sama dengan sekatan ke atas penganut agama Sikh daripada mengamalkan agama mereka.

“Majlis Gurdwara Malaysia (MGC) sedih apabila mendapat tahu perintah telah dikeluarkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bahawa orang bukan Islam di negeri itu diharamkan daripada menggunakan perkataan Allah kerana ia adalah perkataan suci dan eksklusif kepada umat Islam.

“MGC selanjutnya kecewa bahawa tiada pengecualian dibuat dalam dekri tersebut,” kata presiden MGC Jagir Singh dalam satu kenyataan.

Sultan Sharafuddin telah memanggil satu mesyuarat khas dengan beberapa orang Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mufti Selangor serta pegawai tertìnggi MAIS dan JAIS untuk mengharamkan bukan Islam daripada menggunakan perkataan Arab tersebut.

Kenyataan dari pihak berkuasa Islam tertinggi negeri tersebut keluar walaupun keputusan Mahkamah Tinggi pada Disember 2009 mengatakan perkataan “Allah” tidak terhad kepada orang Islam dan Gereja Katolik mempunyai hak untuk menerbitkan perkataan dalam seksyen bahasa Melayu akhbar mingguan itu, Herald.

Walaupun dekri terbaru Sultan Selangor mengharamkan orang bukan Islam di negeri tersebut daripada menggunakan perkataan “Allah”, Pakatan Rakyat (PR) mengesahkan semelam pendirian dalam kontroversi tersebut, menegaskan Islam tidak melarang orang lain daripada menggunakan perkataan tersebut.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu satu sidang akhbar bersama pemimpin PR di Petaling Jaya semalam bahawa Kristian dan masyarakat bukan Islam lain tidak harus menyalahgunakan perkataan Allah untuk menyebarkan kekeliruan di kalangan umat Islam tetapi ini tidak bermakna mereka tidak dibenarkan untuk menggunakan perkataan Arab tersebut.

“Islam tidak menghalalkan orang-orang agama lain daripada menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam amalan mereka, walaupun [dalam penggunaan perkataan oleh orang-orang bukan Islam] tidak merujuk kepada makna asal perkataan kerana menurut al-Quran,” katanya.

Polemik penggunaan kalimah Allah timbul kembali apabila Lim dalam perutusan Krismasnya pada 24 Disember lalu menggesa kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Injil bahasa Melayu memandangkan ia telah dibenarkan di Sabah dan Sarawak sejak 50 tahun lalu dan digunapakai di Timur Tengah hampir seribu tahun lalu.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, masyarakat Kristian dan Islam terlibat dalam perang mulut mengenai perkataan “Allah”, dengan kumpulan kedua berhujah penggunaannya perlu eksklusif kepada mereka atas alasan bahawa Islam adalah monoteistik dan perkataan “Allah” bermaksud tuhan kepada orang Islam.

Penghantaran Alkitab, kitab Injil dalam bahasa Melayu kepada Bumiputera Kristian yang menggunakan Bahasa Melayu telah disekat atau dirampas di pelabuhan, sebelum kerajaan akhirnya tunduk kepada tekanan dan membebaskannya pada tahun 2011.

Sikh, bagaimanapun, tidak dihalang daripada menggunakan “Allah” dalam ibadah mereka sehingga titah terbaru Sultan Selangor.

Tiada ulasan: