Jumaat, 25 Januari 2013

Benarkah kita mencintai Nabi?



DETIK DAILY

DIUCAPKAN selamat menyambut hari kelahiran baginda Rasulullah s.a.w (Khamis 24 Januari 2013) kepada semua Muslimin dan Muslimat, semoga sambutan kali ini memberi nafas baru kepada kita untuk menjadikan segenap ajaran baginda inspirasi menuju kecemerlangan hakiki.

Namun apa yang perlu diutarakan kepada sidang pembaca ialah satu persoalan yang mungkin tidak terlintas dalam pemikiran kita semua, berhubung kebenaran kecintaan dan ikutan kita terhadap baginda Rasulullah s.a.w. melalui sambutan yang kita adakan saban tahun. Isu perarakan yang dilakukan pada awal pagi 12 Rabiulawal saban tahun seolah-olah menggambarkan bahawa rakyat Malaysia yang beragama Islam menunjukkan kesungguhan mereka untuk mencintai Rasulullah s.a.w., tetapi apakah benar mereka mencintai Rasulullah setelah selesai melakukan perarakan?

Sesungguhnya kecintaan terhadap Rasulullah s.a.w. tidak terhenti pada majlis perarakan, kalau itu yang berlaku, ia bermakna tidak ada perbezaan dengan tindakan Abu Lahab (pak cik Nabi) setelah mengetahui bahawa Rasulullah diputerakan, lantas beliau mendakap jasad baginda yang mulia dan membawanya mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali pusingan (serupa amalan tawaf mengelilingi Kaabah).

Tetapi apa yang terjadi kepada Abu Lahab setelah Nabi Muhammad s.a.w. meningkat dewasa dan dilantik pula menjadi Rasul terakhir, beliaulah orang yang paling keras menentang kebenaran yang dibawa oleh anak saudaranya sendiri kerana rasa cemburu dan dengki terhadap orang ramai yang memberikan sokongan kepada perjuangannya.

Inilah yang terjadi kepada kebanyakan umat Islam dalam negara kita, pada waktu pagi berarak, dan di waktu petang hari melakukan tindakan yang menentang Islam dengan penganjuran program maksiat seperti membenarkan persembahan Maharaja Lawak dengan mengajak orang untuk banyak ketawa yang menyanggah matlamat kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. yang sebenarnya datang untuk menyelamatkan mereka daripada terus tenggelam dalam amalan jahiliyah.

Tidakkah golongan seperti ini perlu memerhatikan ayat Allah menerusi surah Ali Imran ayat 31 yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad (kepada umatmu)! Jika kamu cintakan Allah, maka ikutlah aku, pasti Allah cinta kepada kamu.” Sementara dalam ayat 21 surah al-Ahzab, Allah menegaskan bahawa: “Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh teladan ikutan yang baik.”

Adapun dalam ayat 8 surah as-Soff maksudnya: “Dialah (Allah) mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar dengannya dapat mengalahkan agama seluruhnya walaupun tindakan baginda itu tidak disukai oleh golongan orang-orang musyrikin.”

Apabila kita merujuk kepada ketiga-tiga ayat di atas, yang menganjurkan kepada kita agar mencintai baginda, menjadikan baginda contoh teladan, membawa petinjuk ke jalan kebenaran, dan banyak lagi, tetapi adakah kita telah mengikut saranan ayat-ayat di atas.

Umat hari ini selepas berarak, mereka membenci sunnah-sunnah Nabi, sebagai contoh melantik para pemimpin yang tidak menjalankan hukum-hukum Allah sampai hari ini walaupun negara sudah merdeka lebih 50 tahun. Amalan rasuah sudah sebati dalam diri mereka hingga dikenali di peringkat antarabangsa, pemborosan dan sebagainya, kesemua itu amat bertentangan dengan amalan yang ditunjukkan oleh baginda s.a.w.

Mereka juga tidak menjadikan baginda Rasulullah s.a.w sebagai contoh dalam segenap aspek kehidupan sebagai Muslim, ini termasuk dalam aspek pentadbiran negara, institusi kewangan, kemasyarakatan, persekitaran dan lain-lain, semuanya diikat dengan sistem sekularisme, kapitalisme dan lain-lain.

Malah mereka juga tidak yakin bahawa agama Islam adalah agama yang betul dengan prinsip rukunnya yang lima, hingga mencipta ajaran baru “Islam Hadhari”, konsep Satu Malaysia dan pelbagai lagi, jika semua itu tidak disandarkan kepada Islam, maka ia menjadi perkara yang sia-sia di sisi Allah SWT.

Dalam Islam, perkataan Islam dan Iman tidak boleh dipisahkan bagaikan aur dengan tebing, jadi kalau ada istilah sebelum ini sebagai contoh dengan Islam Hadhari, mestilah juga ada istilah Iman Hadhari. Islam Hadhari diterjemahkan dengan Islam yang bertamadun, ini menunjukkan ada lagi istilah Islam yang tidak bertamadun. Kalau tidak mahu terima Islam sebenar, itu adalah haknya untuk menolak, tetapi jangan sampai mengajak orang ramai (rakyat) menentangnya juga.

Ingatlah apa yang pernah diungkapkan oleh Sayidina Umar al-Khattab: “Dulu kami adalah golongan yang hina kerana menolak Islam, kemudian Allah muliakan kami dengan Islam, tetapi apabila jika kami mencari kemuliaan selain daripada Islam, pasti Allah akan timpakan penghinaan atas diri kami.”

Allah SWT menjelaskan bahawa kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. dirancang khusus untuk membawa petunjuk dan agama yang benar daripada-Nya, iaitu petunjuk kebenaran untuk memimpin manusia seluruhnya kepada Islam yang menyelamatkan kehidupan mereka di dunia dan akhirat dan akhirnya menempah tempat di dalam syurga Allah.

Justeru, baginda Rasulullah adalah model terbaik sebagai seorang negarawan, ahli politik, pakar ekonomi, motivator yang sentiasa membawa manusia kepada jalan kebenaran, suami yang berlaku adil tehadap isteri-isterinya, seorang ayah yang mentarbiyah anak-anak dengan amalan-amalan Islam dalam segenap bentuk dan kaedahnya, inilah kebenaran yang tidak ada tolok bandingnya pada pemimpin-pemimpin dunia hari ini.

Membelakangkan baginda s.a.w. dalam menerima kebenaran akan memusnahkan kehidupan seseorang pada hari kiamat, perkara ini diceritakan Allah menerusi ayat 27–29 surah al-Furqan yang bermaksud: “Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: “Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? (27) “Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! (28) “Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. dan adalah syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya)”.(29)

Tidakkah manusia sebelum kelahiran baginda s.a.w. berada dalam kesesatan, kegelapan dan jahiliyah? Maka Allah SWT selamatkan mereka dengan kelahiran baginda Rasulullah s.a.w. dengan tamadun yang cukup tinggi bentuk dan gambarannya iaitu meng-Esakan Allah serta meninggalkan penyembahan yang tidak boleh berbuat apa-apa walaupun ada pihak mahu merobohkannya.

Antara petunjuk yang dibawa oleh baginda Rasulullah s.a.w. ialah akhlak yang tinggi lagi terpuji, Sayidatina Aishah r.a. suatu hari pernah ditanya oleh sahabat (jika Nabi pergi jihad menentang), bagaimanakah bentuk akhlak Rasulullah? Beliau menjawab dengan penuh yakin: “Bahawa akhlak Rasulullah itu adalah al-Quran 30 juzuk.”

Ini bermakna bahawa al-Quran bukan sahaja kitab untuk tatapan bacaan ummah, akan tetapi pada masa yang sama yang membacanya mendapat pahala, petunjuk dari Allah apatah lagi melaksanakan hukum-hukum yang ada di dalamnya, malah kenyataan baginda dalam satu hadisnya menegaskan, bahawa yang menyeru manusia untuk berpegang dengannya juga akan dapat petunjuk.

Ia tidak lain adalah untuk mendapatkan syafaat baginda Rasulullah s.a.w. pada hari kiamat. Ini bermakna sesiapa yang berjaya mendapatkannya akan mudah jalannya untuk masuk syurga, tetapi sebaliknya jika terdapat individu khususnya yang muslim yang tidak disyafaat oleh baginda, maka dia akan masuk ke dalam neraka hingga satu tempoh yang hanya diketahui oleh Allah dan Rasul-Nya.

Sesungguhnya Muslim yang waras tidak akan sama sekali sanggup untuk ‘transit’ walau sebentar di dalam neraka, kerana azab seksaannya tidak tertanggung sakitnya. Walau bagaimanapun ia bergantung kepada sejauh mana kita meletakkan baginda di tempat yang tinggi dalam kehidupan kita dengan mengamalkan sunnah-sunnahnya, menerima-pakai arahannya serta meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya yang ia juga adalah kepatuhan kita kepada Allah SWT.

Tiada ulasan: