Abd Shukur Harun, |
Ada sebuah puisi yang muncul di zaman kemuncak reformasi Indonesia menentang rejim Presiden Soeharto di tahun 1998. Puisi itu yang bertemakan ‘takut’, ditulis oleh penyair ternama, W.S. Rendra, antara lain menyebut:
Siswa takut kepada pensyarah,
Pensyarah takut kepada dekan,
Dekan takut kepada Rektor,
Rektor takut kepada Menteri,
Dan menteri takut kepada Presiden.
Puisi ini saya ingat kembali ketika pelbagai pihak menimbulkan fenomena bagaimana sesetengah kakitangan akademik di pelbagai universiti di Malaysia sendiri, masa kini, mengalami sindrom takut-takut untuk mengeluarkan pendapat, takut menentang arus, takut tidak naik pangkat, takut tidak mendapat gelar professor, malah takut tidak mendapat gelar datuk atau datuk seri, takut itu dan takut ini.
Namun begitu, masih ramai di kalangan ahli akademik, termasuk khususnya kalangan professor yang berani mengeluarkan pandapat apa yang dikiranya benar. Justru tidak semua kalangan ahli akademik yang ‘diserang sindrom takut’ di samping masih ramai ahli akademik yang berani menyuarakan kebenaran. Sebab itu percayalah bahawa di mana-manapun keadaan seperti ini tetap berlaku.
Sebagai contoh, ketika berlaku ‘Arab Spring’ yang menjatuhkan dektator Hosni Mubarak tahun lalu, demikian ramai ahli akademik di sana, termasuk segelintir pensyarah di Universiti Al-Azhar sendiri, seperti yang dilaporkan, menjadi begitu ‘penakut’ untuk bersuara menyokong demonstrasi anti Hosni Mubarak, termasuk sesetengah ulama sendiri.
Demikian juga yang berlaku ketika Revolusi Jasmine di Tunisia dan Libya dan beberapa tempat lain di mana ada ahli akademik juga diserang sindrom ‘takut’.
Oleh itu saya tidaklah terlalu terkejut apabila ada di kalangan ahli akademik kita sendiri yang menimbulkan isu di mana ada di kalangan kakitangan fakulti di universiti tempatan didakwa terlalu takut untuk memperjuangkan kebebasan akademik kerana ia boleh menjejaskan peluang mereka untuk naik pangkat atau menerima anugerah seperti datuk.
Dakwaan tersebut, seperti yang dilkaporkan, dibuat di forum mengenai 'Kebebasan Akademik dan Hak' malam kelmarin oleh bekas profesor undang-undang Abdul Aziz Bari dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Maszlee Malik.
Pakar undang-undang perlembagaan itu berkata, tidak ada gunanya menyalahkan kerajaan atau Umno semata-mata bagi keadaan tersebut kerana ahli akademik itu sendiri yang didakwanya malas.
Katanya, mereka tidak mempunyai idea baru, tidak menjalankan penyelidikan, tidak mengarang apa-apa - semuanya kerana takut.
Beliau mendakwa mereka masuk ke universiti (atau menjadi profesor, timbalan dekan, dekan, naib canselor atau rektor) dengan 'menarik kabel' - menyebabkan menjadi takut.
"... mereka tidak menggalakkan kebebasan akademik, tugas mereka adalah untuk memastikan universiti dikekalkan sebagai sebahagian daripada birokrasi kerajaan," tambahnya.
Pada masa yang sama, dakwanya, ahli akademik yang bercakap untuk masyarakat luar kampus dianggap sebagai orang yang tidak diingini di universiti, sepertimana yang berlaku pada dirinya.
Menyuarakan pandangan yang sama, Dr, Maszlee berkata, budaya naungan dan takut di universiti sekarang begitu menjejaskan ahli akademik dan pelajar.
Beliau mendakwa, ahli akademik bergantung kepada tuan politik mereka untuk dicalonkan bagi anugerah 'Datuk' atau 'Datuk Seri', atau kenaikan pangkat, dan mereka takut menerima surat amaran.
"Mereka telah hilang keberanian, identiti dan keupayaan untuk berfikir. Mengapa? (Ini kerana) hati mereka diselubungi ketakutan.
"Pelajar takut pinjaman Pengajian Tinggi Nasioanal akan ditarik balik. Mereka takut dapat markah rendah, takut dibuang universiti, takut segala-galanya," tambahnya.
Merenung keadaan yang berlaku ini, tentunya ada persamaan keadaan yang berlaku di zaman reformasi Indonesia itu di mana ‘Pensyarah takut kepada dekan, Dekan takut kepada Rektor, Rektor takut kepada Menteri, Dan menteri takut kepada Presiden’.
Dalam kontek suasana di Malaysia sekarang, terutamanya menjelang PRU akan datang, ketika rakyat sedang bangkit untuk menuntut perubahan, tembok rasa ‘takut’ yang selama ini mendominasi pemikiran segolongan rakyat Malaysia ternyata telah dapat diruntuhkan.
Kehadiran kira-kira 700,000 orang – menurut perkiraan pakar matematik, Dr. Shaharir Mohd Zain – adalah sebuah fenomena yang sangat menarik, menghantar isyarat bahawa rakyat sudah keluar dari kepompong rasa takut untuk menyuarakan hak mereka. Merea tidak lagi mahu bersikap seperti semut yang takut dilihat kehadirannya.
Bagaimanapun sama ada ahli akademik yang penakut itu mahu membebaskan diri dari rasa takut dan bersama rakyat atau bagaimana, terserah kepada mereka. Fenomena baru mengenai keberanian rakyat ini, seperti yang ditunjukkan dalam beberapa siri himpunan rakyat ini akan berterusan dan dijangka akan lebih menyerlah lagi di masa akan datang.
Zaman dan suasana berubah. Tidak mustahil akan lebih ramai lagi ahli akademik, ulama, sasterawan, wartawan, tokoh masyarakat dan lain-lain akan ikut serta dalam arus kebangkitan rakyat ini dan saya positif dalam hal ini. Justeru mereka yang masih diselubungi ketakutan akan dtinggalkan – kerana suasana dan perubahan tidak mampu menunggu mereka.
Mereka yang terus takut itu dan akan jadi korban kerana ketakutannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan