Rabu, 6 Jun 2012

Noh Omar Buta Demokrasi





SHAH ALAM : Sikap Noh Omar yang mempertikai usaha Kerajaan Negeri membersihkan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) di Selangor disifatkan sebagai ‘buta demokrasi’ oleh Faekah Husin.

Noh yang menjawat jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengeluarkan kenyataan dengan menuduh Kerajaan Negeri menyalahguna kuasa apabila melancarkan program ‘Selangorku Bersih’ bagi membersihkan daftar pemilih SPR yang menyaksikan penambahan luar biasa pengundi.

“Ini membuktikan Ahli Parlimen Tanjong Karang itu buta demokrasi kerana tidak menghormati hak rakyat negara ini untuk mendapat pilihan raya yang adil dan bebas,” kata Faekah yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor.

Faekah berkata, selepas tsunami politik pada 2008, telah berlaku banyak perubahan terhadap senario politik negara termasuklah di Negeri Selangor.

Antaranya peningkatan luar biasa jumlah pengundi baharu yang apabila dilihat dengan mata kasar agak tidak seimbang dengan jumlah penduduk terutama di kawasan-kawasan tertentu.

“Lebih mengejutkan ialah apabila SPR mengumumkan terdapat pengundi baharu di Selangor seramai 600,000 orang,” ujar Faekah dalam kenyataan media.

Tambah Faekah, meskipun Kerajaan Selangor menganggap daftar pemilih yang dikeluarkan SPR seharusnya sahih dan betul, namun lonjakan pengundi baharu agak membuka mata.

Justeru, sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang sah, maka adalah menjadi tanggung jawab Kerajaan Selangor untuk memastikan bahawa nama-nama yang tertera dalam daftar tersebut benar-benar rakyat yang bermastautin di negeri ni.

“Program Selangorku Bersih dilancarkan untuk maksud tersebut; membantu SPR dalam memastikan Selangor mempunyai daftar pemilih yang bersih sekali gus menolak sebarang andaian negatif terhadap SPR di atas lonjakan pengundi tersebut.

“Kita gerakkan semua JKKK, Ketua Kampung dan Penghulu untuk memeriksa senarai pengundi baharu di seluruh Selangor untuk memastikan nama-nama yang didaftarkan ini benar-benar wujud dan bukannya pengundi hantu seperti yang didakwa banyak pihak,” kata Faekah.

Tegas Faekah, tindakan Noh menghasut rakyat Selangor untuk tidak melayan JKKK, ketua kampung dan penghulu ketika menjalankan pemeriksaan adalah tindakan yang benar-benar mengecewakan.

“Seorang Menteri kanan boleh bertindak dan mengeluarkan kata-kata yang berniat jahat demi menghalang proses demokrasi.

“JKKK, ketua kampung dan penghulu adalah individu yang dilantik Kerajaan Negeri secara sah dan mereka ini mempunyai hak untuk menjaga keselamatan kampung dari anasir-anasir luar termasuklah pengundi-pengundi yang tidak sepatutnya berada di Selangor,” katanya.

Jelas Faekah, Noh sepatutnya menyokong sebarang usaha untuk mewujudkan satu pilihan raya yang bersih, adil dan telus.

Ketakutan Noh ini seolah-olah mengiyakan kegusaran rakyat Selangor selama ini bahawa terdapat unsur-unsur pengkhianatan oleh kerajaan BN, SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam daftar pemilih.

Hal ini dijelaskan lagi apabila Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar turut bersetuju dengan kenyataan jahat Noh tersebut.

“Ironinya, niat Kerajaan Selangor membuat gerakan mengesan para pengundi di seluruh negeri Selangor telah pun dimaklumkan kepada Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. Wan Ahmad juga turut hadir dalam perjumpaan dua bulan yang lalu.

“Pada ketika itu Pengerusi SPR langsung tidak memberi reaksi negatif terhadap hasrat Kerajaan Selangor tersebut,” kata Faekah.

Tiada ulasan: