Rabu, 6 Jun 2012

Geran RM5 Juta Diperuntuk Pelihara Alam Sekitar





PETALING JAYA : Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM5 juta dalam ‘Geran Selangorku’ pada tahun ini bagi melaksanakan pemeliharaan dan aktiviti penjagaan alam sekitar di negeri ini.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, geran alam sekitar diberi kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan dalam melaksanakan program yang dirancang berkaitan alam sekitar.

“Jadi fasa pertama, Kerajaan Negeri telah memberi lebih RM250,000 kepada NGO-NGO terbabit.

“Dalam senarai juga ada lagi 10 lagi permohonan dan pada masa terdekat kita akan menilai kesemuanya dan jika menepati kriteria maka Kerajaan Negeri akan meluluskannya,” kata Elizabeth dalam sidang media selepas penyerahan cek untuk projek dan aktiviti alam sekitar di sebuah hotel di sini.

Elizebeth berkata, Geran Selangorku yang dikhususkan kepada projek alam sekitar itu tidak terhad kepada NGO sahaja malah pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga dialu-alukan mengemukakan cadangan bagi mendapatkan geran itu.

“Kita juga menggalakkan sebagaimana JKKK Sungai Chua Kajang yang mempunyai program, di mana di peringkat akar umbi kita mahu memupukkan kesedaran awam di lingkungan orang kampung berkenaan penjagaan alam sekitar,” ujar beliau.

Tambah Elizabeth, sempena Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut 5 Jun (hari ini) dengan tema ‘Ekonomi Hijau’, Kita ada tanggungjawab yang berat kerana pembangunan di negeri Selangor ini dapat juga memenuhi kriteria-kriteria hijau dalam penjagaan alam sekitar,” kata Elizabeth.

Dalam majlis itu, Elizabeth menyerahkan geran kepada empat NGO dan sebuah JKKK yang masing-masing diterima oleh wakilnya.

Turut hadir dalam majlis itu, isteri Menteri Besar, Puan Seri Salbiah Tunut dan Isteri Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.



Menurut Pegawai Komunikasi, The Malaysian Conservation Alliance for Tigers (MYCAT), Wong Pui May berkata, persatuan itu berharap dengan penerimaan geran itu akan meningkatkan usaha dalam penjagaan hidupan liar di negara itu.

“Dengan Geran ini,maka usaha pihak persatuan akan digiatkan dalam menyebarkan maklumat dan info berkenaan penjagaan dan pemeliharaan hidupan liar khususnya di Selangor dan memberitahu masyarakat tindakan yang boleh dilakukan dalam menjayakan usaha itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Resource Stewardship Consultants Sdn Bhd (RESCU) , Lim Teck Wyn berkata badan itu dengan penerimaan geran itu akan menumpukan kepada projek pemeliharaan hutan melalui usaha penjagaan pokok kayu bakau.

“Kebanyakkan hutan asli telah dilindungi dan dijadikan hutan simpan tetapi masih ada hutan bakau yang ada diluar hutan simpan, maka kami ada projek untuk pemetaan hutan bakau yang akan dimasukkan ke dalam pewartaan hutan simpan yang belum dilindungi,” katanya.

Tiada ulasan: