Selasa, 19 Jun 2012

Najib takut kalah besar di Johor, dakwa PAS


Post Pic


KUALA LUMPUR: PAS Johor mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak enggan membubarkan Parlimen dalam tempoh terdekat kerana bimbang mengalami kekalahan besar di kubu kuat Umno-Barisan Nasional (BN) itu.

Ketua Penerangan PAS Johor Suhaizan Kaiat berkata parti itu bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) yakin mendapat kepercayaan dan sokongan pengundi di negeri itu.

"Najib tidak mampu menang di Johor macam dulu sebab itu beliau tak mahu bubarkan Parlimen sekarang.

"Kalau lihat situasi sekarang memihak kepada kita," katanya kepada AntaraPos.com.

Provokasi PAS yang berterusan mendesak Najib mengumumkan tarikh pilihan raya lebih awal walau bagaimanapun tidak menggambarkan bahawa parti itu bersedia membuat perubahan di Johor.

Himpunan Hijau PAS peringkat negeri Johor yang berlangsung minggu lalu mendapat sambutan suram di mana hanya sekitar 1000 orang hadir seperti yang dilaporkan krew AntaraPos.com.

Kehadiran kepimpinan tertinggi parti termasuk presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat gagal menarik penyokong parti itu untuk menyertai program tersebut.

PAS yang mensasarkan pertambahan kerusi di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti dalam usaha menawan negeri Johor turut melancarkan manifesto yang didakwa diceduk sepenuhnya daripada kerajaan Selangor pada pilihan raya yang lalu.

Malah imej PAS turut tercalar setelah AJK PAS Pusat Datuk Seri Nizar Jamaluddin dipalitkan dengan kemurkaan Sultan Johor termasuk rakyat dalam isu bersabit nombor pendaftaran WWW 1.

Johor merupakan negeri sasaran Pakatan untuk dimenangi pada PRU-13 selain Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan.

Selain itu, gabungan tiga parti komponen itu yakin mempertahankan Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan yang dimenangi pada pilihan raya umum 2008.

Spekulasi tarikh PRU-13 masih berterusan dan Najib yang juga Presiden Umno terus didesak pakatan pembangkang agar tidak terus berteka-teki dan diminta dengan segera membubarkan Parlimen.

Pada pilihan raya umum 2008, PR berjaya memecahkan kubu kuat Umno dengan memenangi satu kerusi Parlimen (dari 26 kerusi) dan enam kerusi DUN dari 56 kerusi yang ditawarkan.

BN menang di 50 kerusi DUN, DAP empat kerusi, PAS dua kerusi sementara PKR tidak memenangi sebarang kerusi DUN.

Pada pilihan raya umum itu PAS bertanding paling banyak kerusi iaitu 32 kerusi, diikuti DAP 12 kerusi dan PKR 10 kerusi.

Tiada ulasan: