Isnin, 4 Jun 2012

Mohamad Nizar akan beri kenyataan polis rabu ini, kata Hishammuddin

THE MALAYSIAN INSIDER

KLUANG— Dua pegawai polis Johor akan mengambil kenyataan daripada bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin di Perak Rabu ini berhubung kenyataannya menerusi Twitter mengenai bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) yang mengesahkan perkara itu berkata, Mohammad Nizar bersetuju untuk memberikan kenyataannya kepada polis pada hari tersebut.

“Saya telah dimaklumkan oleh Ketua Polis Johor Datuk Mokhtar Shariff, pihak polis Johor telah menerima 39 laporan polis dan kenyataan daripada 39 orang mengenai kenyataan Nizar itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Bercakap selepas melakukan program tinjauan mesra di Taman Sri Lambak di sini, beliau yang juga Anggota Parlimen Semberong itu berkata, Mohammad Nizar perlu melalui proses siasatan seperti biasa.

Baru-baru ini, Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak menerusi laman Twitter mempersoal pembelian nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 oleh Sultan Johor, menggambarkan seolah-olah baginda menggunakan wang rakyat.

Semalam, lebih daripada 500 daripada 26 persatuan di Johor mengadakan perarakan sejauh kira-kira 3 km di bandaraya Johor Baharu bagi mengutuk tindakan Mohammad Nizar itu.

Hishammuddin berkata, perarakan oleh rakyat Johor itu semalam merupakan luahan daripada bawah yang menyayangi baginda Tuanku dan merasakan institusi diraja tidak harus diperkotak-katikkan.

Bagaimanapun, beliau menasihati sebarang tindakan perlu mengikut lunas undang-undang negara dan membiarkan proses siasatan berjalan lancar.

Ditanya akta apakah bekas Menteri Perak itu disiasat, beliau berkata, Mohammad Nizar disiasat mengikut Akta Hasutan, tetapi proses pendakwaan akan dilaksanakan oleh Jabatan Peguam Negara.

“Selepas kertas siasatan itu selesai, polis akan menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara yang akan melihat di bawah akta mana beliau akan didakwa,” kata Hishammuddin. — Bernama

Tiada ulasan: