Sabtu, 16 Jun 2012

Keputusan kes Umno saman Pas 20 Julai

KHALILAH GUSTI HASSAN

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 20 Julai ini untuk memberi keputusan berhubung saman RM10 juta yang difailkan oleh Umno terhadap Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan tiga pihak lain.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Zaki Husin menetapkan tarikh itu selepas peguam kedua-dua pihak selesai memberikan hujahan akhir, hari ini.

Umno diwakili Setiausaha Umno Selangor, Ir Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, yang memfailkan saman pada 14 September lalu dengan menamakan Mustafa; pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd; penyunting akhbar berkenaan Ahmad Lutfi Othman dan wartawan Khairul Azlam Mohamad sebagai defendan.

Saman itu antara lain menyebut, Mustafa menerusi satu artikel bertajuk "Pas akan dedah bukti, Umno main peranan operasi Jais" didakwa telah mengaitkan Umno dengan serbuan Jabatan  Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, pada 3 Ogos lalu.

Pada prosiding semalam, peguam mewakili Mohd Zin, Datuk Mohd Hafarizam Harun berhujah bahawa kenyataan Mustafa berhubung artikel itu telah menjejaskan reputasi Umno.

"Mustafa tidak menafikan beliau membuat kenyataan itu dan ia diterbitkan oleh Harakah. Beliau juga akui dapat info menerusi panggilan telefon. Ia khabar angin. Beliau sendiri tidak tahu siapa yang membuat panggilan telefon itu, yang beliau dakwa daripada Jais.

"Pengarah Jais, Datuk Marzuki Hussin dalam keterangannya memberitahu serbuan Jais tiada kena-mengena dengan Umno atau mana-mana parti politik. Ini jelas menunjukkan kenyataan Mustafa berbentuk fitnah," katanya.

Sementara itu, peguam Hanipa Maidin yang mewakili Mustafa berhujah bahawa kenyataan Mustafa dalam artikel tersebut tidak menyebut Umno Selangor sebaliknya Umno.

Menurutnya, Mohd Zin selaku wakil parti itu tidak boleh mengemukakan saman mewakili Umno berdasarkan keterangan saksi dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia yang mengatakan, hanya penama yang dimasukkan dalam daftar pertubuhan sahaja berhak menyaman atau disaman oleh mana-mana pihak terhadap pertubuhan berkenaan.

"Perkara itu telah ditetapkan dalam Seksyen 9C Akta Pertubuhan," katanya.

Keterangan Penolong Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Nor Hanis Mazlan, 27,  sebelum ini menyebut; Datuk Abdul Rauf Jusof, Setiausaha Kerja Umno Pusat iaitu penjawat awam Umno
adalah penama yang berdaftar sebagai pendaftar pertubuhan.

Dalam saman itu, Mohd Zin menuntut semua defendan membayar ganti rugi RM10 juta termasuk ganti rugi keterlaluan atau teladan untuk libel dan faedah empat peratus setahun.

Beliau juga memohon injunksi untuk menghalang mereka daripada menerbitkan atau menyebabkan penerbitan kata-kata fitnah itu, baik secara lisan atau di media cetak dan Internet.

Selain itu, pihaknya menuntut kesemua defendan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis di akhbar dan majalah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Tiada ulasan: