Jumaat, 8 Jun 2012

Ikhlas dakwa 3 agensi lindungi peniaga asing di KL

Wartawan Sinar Harian

 PUTRAJAYA - Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) hari ini menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat pegawai penguatkuasa yang  didakwa melindungi warga asing yang berniaga secara haram di sekitar Kuala Lumpur.

Presiden Ikhlas Mohd Ridzuan Abdullah mendakwa lebih 80 peratus peniaga asing haram menguasai perniagaan di Chow Kit, Lebuh Ampang, Pasar Seni, Pasar Keramat, Pasar Besar Kuala Lumpur, Masjid India, Petaling Street dan Segambut adalah dengan bantuan dan pertolongan pegawai-pegawai penguatkuasa.

"Kita minta SPRM siasat ada segelintir pegawai DBKL, polis dan imigresen terlibat dalam proses pemberian lesen menggunakan nama ahli keluarga dan saudara mara. Mereka(pegawai-pegawai penguatkuasa) melindungi peniaga asing itu.

"Lebih kurang 80 peratus peniaga warga asing terlibat dalam Kuala Lumpur adalah peniaga asing haram. Kita ada bukti, kalau SPRM nak ikut kita sedia membawa ke tempat itu hari ini juga," katanya kepada pemberita sebelum  menyerahkan memorandum itu kepada SPRM di pejabat SPRM di sini hari ini.

Beliau juga khuatir akan berlakunya penyelewengan dalam pemberian lesen kepada peniaga asing tanpa izin bagi bazar Ramadan.

Selain itu, katanya pertubuhan itu juga mahu kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membanteras isu kebanjiran peniaga asing haram di negara ini yang menurutnya sudah mencapai tahap membimbangkan. -- Bernama

Tiada ulasan: