Khamis, 21 Jun 2012

GMI gesa bebaskan tahanan ISA

Wartawan Sinar Harian
 
 
KUALA LUMPUR - Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menggesa kerajaan membebaskan kesemua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang masih ditahan di Kem Tahanan Kamunting.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, walaupun kerajaan telah memansuhkan akta tersebut, tetapi seramai 45 orang masih ditahan, dan tidak mengetahui nasib mereka sama ada akan dibebaskan atau menunggu tempoh tahanan tamat.

Menurutnya, kesemua ahli keluarga telah dimaklumkan bahawa mereka akan dibebaskan, namun sehingga hari ini, masih tiada sebarang perubahan.

“Berikutan kekecewaan itu, kesemua tahanan di kem terbabit telah melancarkan mogok lapar selama tujuh hari, bermula 12 Mei lalu.

“Selain itu, tahanan terbabit mendakwa mereka turut didera secara mental dan fizikal, sepatutnya perkara sebegini tidak seharusnya berlaku,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perutusan sempena Hari Malaysia 2011, telah mengumumkan pemansuhan Akta ISA 1960, serta menamatkan tiga proklamasi darurat bagi membolehkan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang  lebih dinamik.

Pada 17 April lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) bagi menggantikan ISA.

Tiada ulasan: