Khamis, 14 Jun 2012

FGVH dihalang mahkamah proses pinjaman

KL TODAY

 


Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini membenarkan permohonan 147 peneroka bagi menghalang CIMB Bank dan Amislamic Bank untuk memproses dokumen pinjaman yang ditandatangani mereka baru-baru ini.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, mereka sangat gembira dengan keputusan yang dibacakan Hakim Datuk Mariana Yahya itu dan menunjukkan satu lagi kejayaan warga peneroka.

“Anak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada peguam plaintif, Harris Abdullah yang bertungkus lumus membantu peneroka dalam kes ini,” kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

16 Mei lalu, 154 peneroka sekitar Pahang memohon injunksi mahkamah dengan ‘inter parte’ bagi melarang CIMB dan AmIslamic Bank untuk memproses dokumen pinjaman yang ditandatangani mereka.

Mereka juga memohon sekiranya sudah diproses, pihak bank dilarang untuk menyalurkan jumlah pinjaman kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) kerana  kerana mereka menandatanganinya dalam keadaan terpaksa dan tidak faham.

Sehubungan itu, Mazlan menyeru peneroka lain yang menandatangani borang tersebut turut tampil memberi maklumat kepada Anak agar ia boleh dibawa ke mahkamah.

“Saya menyeru mana-mana peneroka yang telah menandatangani borang pinjaman, mereka boleh memberitahu kepada Anak dan kita akan bawa ke mahkamah kerana kejayaan hari ini membuktikan peneroka di pihak yang benar,” katanya.

Sementara itu, Mazlan turut mengajak warga Felda untuk bersama-sama Anak menyerahkan notis kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di kediaman rasminya di Putrajaya, selepas solat Jumaat esok.

Notis itu menuntut Najib membuat permohonan terbuka berhubung ucapannya yang menyebut ‘haram jadah’ kepada peneroka, 8 Mei lalu.

“Saya harap peneroka dapat beri sokongan moral dengan hadir beramai-ramai esok. Kita mahu perdana menteri mohon maaf secara terbuka. kalau gagal, kita akan sama malu,” katanya yang juga pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Tambah Mazlan, beliau juga akan membuat pengumuman berhubung tarikh perhimpunan besar-besaran membantah penyenaraian FGVH yang dirancang akhir bulan ini.

“Esok saya akan umumkan tarikh perhimpunan kita dan lokasinya di mana,” katanya.

Mazlan sebelum ini berkata,  pihaknya akan menghimpunkan sekurang-kurangnya 20,000 orang di Kuala Lumpur terdiri daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) bagi tujuan itu.

Katanya, perhimpunan itu merupakan kemuncak kepada usaha Anak selepas usaha dilakukan selepas segala pendekatan diplomasi mereka tidak diendahkan.

Tiada ulasan: