Ahad, 17 Jun 2012

Enam kawasan catatkan IPU tidak sihat

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Enam kawasan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat di seluruh Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sehingga 7 pagi ini berbanding lapan semalam.

Enam kawasan yang mencatat IPU tertinggi ialah Pelabuhan Klang (113), Shah Alam (125), Petaling Jaya (110), Kuala Selangor (113) di Selangor serta Cheras (106) dan Batu Muda (108) di sini.

Sebanyak 39 kawasan di seluruh negara pula mencatat bacaan IPU sederhana berdasarkan bacaan dari 51 stesen pengawasan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) manakala 8 lagi kawasan mencatat bacaan IPU baik.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, www.doe.gov.my, tiada kawasan di negara ini yang mencatat bacaan sangat tidak baik dan berbahaya di mana 70 peratus kawasan di seluruh negara berada di tahap bacaan IPU sederhana, 18 peratus di tahap baik dan hanya 12 peratus di tahap tidak sihat.

IPU pada tahap antara 0 dan 50 merupakan bacaan baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 301). 

Kemerosotan kualiti udara yang sedang dialami di Lembah Klang ketika ini adalah disebabkan pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera, Indonesia.

Sementara itu, Jabatan Meterologi Malaysia meramalkan hujan di beberapa tempat di Selangor, wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur pagi ini.

Menurut laman sesawang jabatan itu, Malaysia kini dilanda Monsun Barat Daya, yang menyebabkan keadaan cuaca panas dan kering, dan keadaan ini dijangka berterusan sehingga September. - Bernama

Tiada ulasan: