Sabtu, 2 Jun 2012

Dipenjara sebab hina Sultan Perak

KL POS

 
 Seorang jurutera dijatuhi hukuman maksimum penjara setahun dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menulis komen menghina Sultan Perak dalam satu laman web pada Februari lepas.

Chan Hon Keong, 29, didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda dan penjara maksimum tersebut jika sabit kesalahan.

Hakim Ikmal Hishan Mohd. Tajuddin yang mendengar hujah pendakwaan di akhir perbicaraan, juga memerintahkan Hon Keong dipenjara lima bulan jika dia gagal menjelaskan denda tersebut.

Ahli keluarga tertuduh termasuk isterinya, Khoo Hui Suang, 28, dilihat menitiskan air mata selepas mendengar keputusan hukuman.

Pada 15 April lalu, Hon Keong mengaku tidak bersalah selepas didakwa bersama isterinya Hui Suang, kerana mengedar komen lucah menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, melalui ruang siber.

Bagaimanapun Hui Suang dibebaskan selepas didapati tidak bersalah di akhir penghujahan kes pada 13 Mac lalu, sementara Hon Keong diarah membela diri sambil dikenakan jamin RM6,000.

Hakim mengarahkan tertuduh dikenakan tambahan jaminan RM14,000 sementara menantikan keputusan rayuan kesnya.

Tiada ulasan: